Isnin, 22 Oktober 2012

Kerajaan Selangor Buktikan PR Mampu Tadbir Negara Lebih Baik




KLANG: Rekod hampir lima tahun pentadbiran negeri Pakatan Rakyat (PR) membuktikan pakatan tersebut mampu mentadbir kerajaan negara dengan lebih baik berbanding rekod 55 tahun Umno-BN.

 Antaranya termasuklah prestasi cemerlang kewangan dan kecekapan pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini

Laporan tersebut antara lain menyatakan simpanan atau kumpulan wang disatukan bagi Selangor telah meningkat sehingga mencecah RM 1.94 bilion pada 2011.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding mana-mana negeri yang diterajui Umno-BN.

Selain itu, amalan perbelanjaan secara berhemah oleh Kerajaan Selangor turut membolehkan kerajaan negeri itu membentangkan belanjawan berimbang semenjak tahun 2009 lagi.

Demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyangkal dakwaan Umno-BN bahawa PR akan menyebabkan negara muflis sekiranya PR diberi peluang mentadbir negara ini.

“Kalau kita menang kita umumkan harga minyak turun dan nanti (Datuk Seri) Najib kata apa?

“Nanti negara bangkrap, itu sahaja yang dia tahu. Ambil duit lembu tak bangkrap, ambil tanah rakyat ratus ribu hektar tak pula dia kata bangkrap.

“Bangkrap ini boleh terjadi bila ada yang tak amanah,” kata Anwar di hadapan hampir dua ribu hadirin di dalam ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pandamaran di sini hari ini.

Beliau turut menemplak Umno-BN yang gagal membantu rakyat miskin di Sabah seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kerajaan Negeri bayar sehingga RM 400 juta untuk beri air percuma kepada rakyat Selangor.

“Ada Umno-BN berikan kepada Sabah negeri yang paling kaya tetapi rakyat paling miskin?” ujarnya lagi dalam program yang berjalan dalam keadaan dilanda hujan.

Selain Anwar turut hadir dalam program Jelajah Merdeka Rakyat kali ini adalah Abdul Khalid dan barisan exco Kerajaan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: