Jumaat, 5 Oktober 2012

Jakim akan keluar garis panduan penyembelihan

SINAR HARIAN

 Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai penyembelihan tidak lama lagi supaya prosesnya dapat dilakukan secara teratur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim sudahpun memperhalusi garis panduan penyembelihan itu, dan telah menyerahkannya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk diteliti sebelum dikeluarkan.

"Garis panduan penyembelihan ini disediakan bagi rumah sembelihan, organisasi mahupun individu supaya proses penyembelihan di negara ini lebih teratur dan memberi keadilan terhadap haiwan sembelihan seperti yang terdapat dalam adab penyembelihan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasa Halal Malaysia 2012 dan melancarkan sistem pensijilan halal produk farmaseutikal di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.

Menyentuh mengenai sistem pensijilan halal produk farmaseutikal yang dilancarkannya itu, Jamil Khir berkata ia terbuka kepada permohonan secara sukarela, dan syarikat farmaseutikal yang berminat boleh memohon sijil halal itu bermula 15 Okt ini.

"Sistem pensijilan halal produk farmaseutikal ini juga menggunakan Standard Malaysia MS 2424:2012 Farmaseutikal Halal - Garis Panduan Umum yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Isnin lepas," katanya.

Sistem pensijilan halal produk farmaseutikal dibangunkan oleh bahagian Hab Halal Jakim itu memberi ruang kepada syarikat farmaseutikal memohon sijil halal bagi produk keluaran mereka secara atas talian.

Jamil Khir berkata kini permintaan terhadap produk farmaseutikal semakin meningkat dan pelancaran sistem ini dapat membantu pengguna terutama umat Islam menggunakan produk kesihatan yang diperakui halal dan berkualiti tanpa sebarang keraguan.

Persidangan sehari itu disertai hampir 300 peserta membincangkan isu berkaitan halal dari aspek undang-undang dan penguatkuasaan oleh pelbagai agensi berkaitan dari seluruh negara. - Bernama

Tiada ulasan: