Khamis, 25 Oktober 2012

‘Hudud tiada kesan kepada bukan Islam’

 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B), Datuk Sri Jamil Khir Baharom juga menolak cadangan untuk meminda Akta Pencegahan Jenayah 1959. 

 

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa sekiranya undang-undang hudud dilaksanakan maka undang-undang itu tidak akan memberi kesan kepada rakyat bukan Islam.

“Jika undang-undang hudud hendak dilaksanakan di Malaysia, maka undang-undang hudud yang merupakan sebahagian daripada undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri.

“Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang-orang Islam sahaja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B), Datuk Sri Jamil Khir Baharom.

Oleh itu katanya, undang-undang hudud tidak akan memberi kesan terhadap rakyat bukan Islam. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Bebas Tan Tee Beng.

Tan dalam soalannya bertanya kesan pelaksanaan hudud, sekiranya dilaksanakan, terhadap rakyat bukan Islam. Beliau turut bertanya samada Akta Pencegahan Jenayah 1959 akan dipinda dan diselaraskan mengikut undang-undang hudud di dalam pelaksanaan hukuman.

Menurut Jamil Khir, undang-undang hudud akan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti dalam Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa jenayah) 1965, bidang kuasa mahkamah syariah terhad kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman -hukuman tersebut,” kata Jamil Khir.

Beliau turut menolak sebarang perkaitan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dengan undang-undang hudud.
“Justeru itu kerajaan tidak merancang untuk meminda akta ini,” katanya.

Tiada ulasan: