Rabu, 24 Oktober 2012

Hudud: Mufti perlu tegur pendirian Soi Lek

JAMILAH HAMZAH dan NURUL AINI MOHAMED ALI

Hudud: Mufti perlu tegur pendirian Soi Lek
(Dari kanan) Syahrin, Mohd Asri, Siddiq Fadzil dan Maszlee Malik. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor, Azmi Aryanto, Rosli Talib, Muhammad Zulfadhli Mohd Zaki 
 
SHAH ALAM – Moderator Wacana Sinar Harian ke-15, Dr. Maszlee Malik menggesa para mufti menyatakan pendirian mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai hudud yang kebelakangan ini didakwa semakin lantang memainkan isu itu.

Menurutnya, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ahad lalu, yang tidak mengkritik kenyataan Soi Lek, seolah-olah menunjukkan pandangan Soi Lek adalah benar.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menambah, "para mufti dan ilmuan setiap negeri mesti memberi pendirian dan pendapat sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan Soi Lek atau pun tidak.”

“Sama ada mereka redha atau apakah pendirian dan langkah yang perlu diambil, Perdana Menteri pun tidak menafikan apabila Soi Lek mebuat kenyataan seperti itu, seolah-olah membenarkannya walaupun ketika Perdana Menteri turut hadir dalam perhimpunan MCA baru-baru ini," katanya pada sidang media selepas Wacana Sinar Harian ke-15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin hari ini, di sini.

Wacana itu dianjurkan oleh Sinar Harian, produk terbitan Kumpulan Media Karangkraf.

Minggu lalu, Soi Lek dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menghina hudud, antara lain berkata jika hukum hudud yang dihasratkan Pas dilaksanakan, ia akan menyebabkan 1.2 juta rakyat hilang pekerjaan.

Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pas terus menggesa Soi Lek bagi memohon maaf keatas keterlanjurannya mengeluarkan kenyataan yang berbaur penghinaan kepada hukum hudud itu.

Dalam pada itu, hadirin Wacana Sinar hari ini juga mengajukan soalan berhubung  kenyataan Soi Lek, mendakwa ia memperlekehkan pelaksanan hukum Hudud di negara ini tetapi tiada seorang pun ulama Umno “membuka mulut” mempertahankan Islam.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin bagaimanapun mempertahankan Umno mengatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut melakukan perkara tersebut iaitu mempermainkan soal hudud terhadap Pas.

“Kalau mahu sebut soal mempermainkan hudud, DAP juga buat perkara yang sama juga kan? Jadi tidak ada beza pun dengan MCA lakukan terhadap Umno,” kata beliau yang juga Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi Malaysia.

Selain Syahrin turut menjayakan wacana hari ini ialah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil dan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zaindul Abidin.

Syahrin bagaimanapun tidak menafikan perlunya pelaksanaan hukum hudud di negara ini tetapi perlu memikirkan kaedah atau pendekatan yang harus diguna dalam merealisasikan perkara ini.

“Kami (Umno) tidak pernah menafikan soal hudud ini malah konsisten ke arah pelaksanaan hudud,” tegas Syahrin.

Beliau turut menafikan yang Umno tidak mahu merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

“Bukan tidak mahu buat, tetapi apa yang penting ialah pendekatan dan kaedah yang perlu kita gunakan dalam merealisasikan perkara (hudud) ini,” katanya.

Sementara itu, Asriberkata, ulama patut bersuara berhubung kenyataan Soi Lek berkenaan isu hudud.

“Ulama sepatutnya bersuara berhubung perkara ini. Kita tengok sehari dua lagi, ulama Umno akan kritik MCA,” katanya.

Tiada ulasan: