DEWAN Rakyat semalam, menolak usul dikemukakan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) untuk membahaskan isu pemindahan 14,000 pengundi daripada kawasan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kerana perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada semua parti politik pada Disember tahun lalu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata isu yang ingin dibahaskan itu juga adalah hal politik dan meminta Fuziah tidak mengheret Parlimen dan Speaker dalam kancah politik.
Beliau berkata, mengikut peraturan mesyuarat 36 (8), hal membabitkan Yang Dipertuan Agong, hakim mahkamah dan suruhanjaya tidak boleh dibincang, termasuk SPR kerana agensi itu dianggap sebagai badan bebas.

"Saya sudah meminta maklumat SPR dan diberitahu secara bertulis bahawa semua parti politik sudah dimaklum berhubung belah bahagi kawasan pada Disember tahun lalu. Malah, jika kita layari laman web SPR, maklumat itu juga ada di situ.

"Terpulang kepada Umno, parti komponen Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melakukan apa yang perlu selepas SPR memaklumkan perkara itu tahun lalu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Fuziah meminta SPR lebih bertanggungjawab berhubung perkara itu.