Rabu, 17 Oktober 2012

Audit 2011: 9 GLC rugi 3 tahun berturut-turut

NOOR AZURA SAHRIL

Parlimen
Laporan maklumbalas
 
SHAH ALAM –  Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC)  tersenarai antara sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengalami kerugian  bagi tiga tahun berturut-turut, kata Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Mengikut laporan tersebut kerugian HDC pada 2008 mencatat jumlah  RM13.80 juta, 2009 sebanyak RM14.57 juta dan pada 2010 sebanyak RM20.50 juta.

Turut sama tersenarai dalam sembilan syarikat yang mengalami kerugian adalah Indah Water Konsortium, Kereta Api Tanah Melayu Bhd, Malaysia Venture Capital Management Sdn Bhd, Jaring Communications Sdn Bhd, Syarikat Prasarana Negara Bhd, Inno Bio Ventures Sdn Bhd, Jambatan Kedua Sdn Bhd dan Assets Global Network Sdn Bhd yang kesemuanya mencatatkan kerugian sebanyak RM2.446 bilion.

Kerugian yang dicatatkan HDC bagi tempoh 2008 hingga 2010 adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan pengurusan syarikat seperti kos latihan dan kursus, kos pensijilan dan kos penyertaan serta penganjuran World Halal Forum dan World Halal Research.

Selain itu, peningkatan kerugian ini juga didorong oleh pengurangan pendapatan yang diterima HDC sama ada daripada hasil operasi mahupun geran daripada kerajaan.

“Walaupun terdapat beberapa operasi seperti pensijilan halal dan latihan halal yang dikenakan caj sebagai pendapatan syarikat, namun begitu caj yang dikenakan adalah ditahap paling minimum dan dibawah kos,” kata laporan itu.

Ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan di dalam menyumbang kepada pembangunan industri halal negara.

Sungguhpun begitu sebagai sebuah syarikat pembangunan yang ditubuhkan memacu pertumbuhan industri halal negara, HDC bukanlah sebuah syarikat yang berorientasikan keuntungan.

Di samping itu juga, HDC juga tersenarai antara sembilan buah syarikat yang mengalami penurunan pegangan aset secara berterusan tiga tahun berturut-turut.

Pada 2008, sebanyak  RM75.30 juta, pada 2009  mencatat sebanyak RM57.62 juta dan 2010 sebanyak RM40.50 juta.

Penurunan pegangan aset HDC sebanyak RM34.8 juta dari tahun 2008 hingga 2010 secara amnya disebabkan oleh pengurangan nilai simpanan tetap islamik di bawah Akaun Pelaburan Mudharabah berjumlah RM34.02 juta.

Tiada ulasan: