Isnin, 29 Oktober 2012

Apabila sekutu kian sukar dibela...







Oleh Lim Hong Siang 

 




Rata-rata menganggap MCA kini semakin terdesak, seandainya diperhatikan hujah-hujah yang dikeluarkan bukan sahaja Presidennya, Chua Soi Lek, tetapi juga pemimpinnya yang lain ketika dalam Perhimpunan Agung MCA ke-59, baru-baru ini. Soi Lek terus menyerang dengan isu Hudud, selepas membeliakkan orang ramai dengan hujah "1.2 juta orang akan menganggur seandainya Hudud dilaksanakan", memetik angka dari sms yang tidak dikenali pengirimnya.

Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie pula memetik hujah Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat di luar konteks, menyimpulkannya sebagai "Nik Aziz menghasut muslim untuk merogol bukan muslim", menurut laporan Malaysiakini.

Ironinya, antara kain rentang yang menghiasi Perhimpunan Agung MCA ke-59 ini bertulis, "MCA menyanjung keamanan, DAP menghasut kebencian". Hujah-hujah yang berbaur prejudis ini telah mencungkil sensitiviti masyarakat Islam, malah PERKASA yang menyokong Barisan Nasional sepanjang ini tampil menyatakan pendirian untuk tidak menyokong MCA dalam PRU 13. Jika disimpulkan dalam satu perkataan, maka apa yang dilakukan MCA kebelakangan ini namanya BANGANG.

Namun ada perlunya kebodohan MCA ini dikupas dan dikaji, agar taraf kita tidak direndahkan apabila mengulas apa-apa yang berkenaan dengan parti ini. Malah, kebodohan MCA ini perlu dipergunakan sepenuhnya untuk mengatur langkah ketika berdepan dengan BN dalam PRU 13.

Pertama, sesiapa yang berminat atau memerhatikan senario politik tanahair sudah pastinya sedar, bahawa MCA telah kehilangan sokongan daripada golongan belia Cina, dan penduduk bandar. Minggu lalu saya terdengar perbualan seorang pemuda dengan seorang Cina yang berumur 50-an di sebuah kafe, Kuala Lumpur. Dengan tegas pemuda Cina itu berkata, "Jikalau MCA bertanding di kawasan saya menentang PAS, saya akan mengundi PAS."

Pemuda-pemudi Cina yang mendapat maklumat dari media internet, hampir kebal dengan isu Hudud. Untuk mereka, isu ini bagai isu basi yang cuba dipanaskan MCA. Mereka adalah golongan yang turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011 atau 28 April 2012. Mereka adalah generasi yang berganding bahu dengan pelbagai kaum ketika berdepan dengan FRU, dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan Unit Amal ketika gas pemedih mata ditembak.

Oleh itu, golongan pengundi yang mampu melanjutkan talian hayat MCA adalah golongan warga emas Cina, tinggal di kampung, tidak terdedah dengan informasi internet, malah generasi yang dihantui tragedi 13 Mei dan sebagainya. Satu lagi golongan pengundi yang bakal menjadi "harapan" MCA adalah pengundi Melayu yang menyokong UMNO.

Langkah Soi Lek dianggap bodoh kerana beliau menyinggung pengundi Melayu yang berpotensi menyokongnya. Ini boleh dilihat apabila Presiden UMNO Najib turut keberatan untuk mempertahankan hujahnya, cuma mengelak tanpa mahu mengulasnya ketika diminta wartawan. Jelas, reaksi Najib ini mungkin disebabkan perkiraannya yang tidak mahu MCA menjadi beban kepada UMNO. Jika logik ini dilanjutkan, agak pasti MCA akan kehilangan sokongan Melayu di kawasan calonnya bertanding.

Lantas penyokong MCA menyusut kepada pengundi Cina di "saluran pertama", kawasan kampung.
Menekankan Hudud, atau menjawab tuduhan Hudud (oleh PAS) tidak akan menyentuh hati golongan ini.

Prejudisnya begitu menebal kerana tidak terdedah kepada maklumat luar. Padahal, Hudud menjadi satu-satunya senjata yang diharapkan MCA untuk membawa kemenangan kerana isu inilah yang memenangkan mereka dalam PRU pada tahun 1999. Seandainya PAS mahu meluaskan lanskap politiknya, menyasarkan golongan pengundi Cina yang sudah berusia ini, maka PAS perlu menumpu kepada soal ekonomi, rasuah, keselamatan, pengaliran bakat ke luar negeri dan sebagainya. PRU 13 bukan pertaruhan untuk hanya menjaga kubu masing-masing, tetapi menembusi kubu musuh.

Namun, apa yang penting, MCA, malah gandingan BN sendiri telah memperlihatkan petanda-petanda untuk menjadi pembangkang. Untuk sekian lama, PAS dan DAP sebagai parti politik yang bersejarah tetapi gagal merampas kuasa kerajaan persekutuan, kerana berada di kedudukan dua penghujung. DAP menyerang MCA kerana tidak memperjuangkan kepentingan bukan Melayu/Muslim; PAS di sebaliknya, menyerang UMNO kerana tidak "Islam". Gandingan BN berada di tengah-tengah, saling membela dan meraih sokongan majoriti - kerana mustahil penyokong DAP mengundi PAS, begitu juga dengan sebaliknya.

Senario terkini menyaksikan situasi yang berbeza. DAP sungguhpun tidak bersetuju dengan pelaksanaan Hudud, tetapi telah belajar untuk mengungkapnya dengan sikap yang berhemah dan beradab. PAS pula lebih matang kerana sanggup bekerjasama dengan parti politik lain, dalam kerangka yang lebih besar.
Ruang untuk berbincang sentiasa dibuka, dan menerima hakikat bahawa mustahil manusia mahupun parti politik bersetuju dalam semua isu.

Gandingan politik hanya mantap apabila komponennya tidak melakukan sesuatu yang sukar dibela sekutunya. MCA kini melakukan kesilapannya kerana UMNO enggan membelanya. UMNO sejak awal lagi telah melakukan pelbagai kesilapan yang sukar dimaafkan, apatah lagi untuk dibela. Pengajaran ini amat berharga. Namun, pengajaran tidak semestinya perlu diperolehi dengan melakukan kesalahan, Pakatan Rakyat boleh mendapat pengajaran percuma dari kesilapan musuhnya kali ini.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan: