Selasa, 2 Oktober 2012

Anwar bela Buku Jingga sebagai kunci kemakmuran negara

Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempertahankan Buku Jingga Pakatan Rakyat (Pakatan) sebagai jawapan kepada segala permasalahan negara, sehari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkannya sebagai dokumen tanpa nilai.

Ketika membahas ucapan Belanjawan 2013 di Parlimen, Anwar berkata dokumen pembangkang itu berupaya mengekang defisit negara yang didakwa beliau berpunca daripada perbelanjaan sewenang-wenangnya oleh Barisan Nasional (BN).

“Buku Jingga adalah dokumen yang jelas menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses istilah politik dan pentadbiran yang menyeluruh,” kata Anwar.

Perdana Menteri semalam menegaskan Buku Jingga Pakatan gagal membawa sebarang dasar yang pratikal tetapi hanya mengandungi cadangan-cadangan yang hanya akan membankrapkan negara.

Najib turut menyelar prestasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui Anwar dalam memimpin Selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan PKR gagal melaksanakan lebih 70 peratus daripada janji-janjinya namun kini menuntut mandat untuk mentadbir negara.

Tanpa merujuk kepada celaan daripada Najib itu, Anwar menggunakan peluang di Parlimen untuk menyelar dasar-dasar BN khususnya yang berpaksi kepada jumlah defisit negara.

“Dalam keadaan negara berhadapan dengan defisit yang meruncing, sewajarnya kerajaan berhemah dan menunjukkan penjimatan dari proses perolehan yang telus, sebaliknya RM1.5 bilion dibelanjakan melebihi jumlah yang diluluskan.

“Kegagalan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi mempunyai kesan besar kepada kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, tatkala negara berdepan dengan masalah defisit yang meruncing," tambah beliau lagi.

Kerajaan Barisan Nasional mensasarkan pengurangan defisit perbelanjaan negara kepada tiga peratus menjelang 2015.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik.

"Bagi tahun hadapan kami menyasarkan defisit tersebut dapat dikurangkan kepada bawah 4.7 peratus yang dicatatkan pada tahun ini," katanya.

Anwar sebelum ini menyelar Belanjawan 2013 sebagai penuh dengan gimik politik kerana pilihan raya umum semakin hampir.

Bagaimanapun beberapa pihak mengibaratkan Anwar sebagai 'paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih' apabila menawarkan pengurangan harga kereta, pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pemansuhan tol dan imbuhan lain.

Tiada ulasan: