Ahad, 28 Oktober 2012

Aman Palestin akan bina sekolah menghafal Al-Quran di selatan Gaza

SINAR HARIAN

Aman Palestin
Sukarelawan Aman Palestin melawat kawasan yang diwartakan akan dibina sebuah sekolah. Sekolah tersebut dijangka siap pada 2014 - Foto Bernama
 
GAZA – Rakyat Gaza dijangka menerima bantuan pendidikan rakyat Malaysia berikutan kerajaan telah memperuntukkan 5,000 meter padu tanah di selatan daerah Khan Younis untuk membina sekolah Aman Palestin Bhd yang bernilai US$300,000.
  
Bangunan tiga tingkat itu boleh menempatkan sehingga 800 pelajar pada satu-satu masa di sekolah Darul Quran Al-Karim Wa Sunnah bagi menghafal dan membaca al-Quran selain mempelajari hadis.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Aman Palestin Gaza, Omar Seyam berkata sekolah baru itu dirancang bagi mempunyai nama berunsur Malaysia.
  
"Kami akan memanggil tender untuk membina bangunan sekolah selepas Aidiladha. Kami berharap untuk memulakan operasi seawal 2014," katanya kepada delegasi misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza.
  
Walaupun sumbangan masih belum mencapai sasaran, Omar berkata mereka akan meneruskan pembinaan dua blok bangunan tidak lama lagi.

"Ia adalah mahal untuk membawa bahan binaan dari Mesir melalui terowong, jadi kami tidak akan menunggu untuk memperoleh jumlah keseluruhan. Kami akan membina fasa demi fasa," katanya.
  
Beliau berkata sekatan Israel ke atas simen dan keluli yang dimport ke kawasan kepungan sering menjadi halangan untuk membina semula Semenanjung Gaza.
  
"Saya harap kerajaan Mesir dibawah pimpinan Islam baru akan membenarkan kami membawa bahan-bahan bekalan melalui sempadan Rafah dan tidak lagi menyeludup melalui terowong. Ini akan banyak membantu kami terutama dari segi kos bangunan sekolah di Gaza," kata Omar.
  
Sekolah yang dicadangkan itu terletak bersebelahan cawangan baru universiti Al-Quds dan dilihat boleh membantu pembangunan baru yang dijangka berlaku di Khan Younis berikutan pelaburan Qatar bernilai US$400 juta.
  
Beliau berkata Aman Palestin akan meroboh dan membina semula kawasan masjid Al-Qassam yang dibom yang turut terletak di kawasan Khan Younis.

Projek itu menelan belanja RM374,000 (US$D120,000) yang dibiayai sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
  
Sejak empat tahun lalu, penduduk di lorong Abasan Al-Jadeeda bersembahyang di struktur sementara yang diperbuat dari batang besi dan kain. - Bernama

Tiada ulasan: