Jumaat, 7 September 2012

Urus pelabuhan: Kelantan hantar 34 pegawai ke Dubai

Salmah Mat Husain,
 
KOTA BHARU: Walaupun Pelabuhan Tok Bali belum beroperasi secara rasmi, namun pelabuhan berkenaan telah ‘hidup’ dengan aktiviti-aktivitinya yang tersendiri.
Pelabuhan itu kini sedang diurus oleh East Coast Terminal Sdn. Bhd sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, menyedari keadaan itu kerajaan negeri telah meluluskan 34 orang wakilnya ke Dubai untuk mempelajari kaedah pengurusan pelabuhan.

Katanya, peserta  dari pegawai kerajaan negeri termasuk ahli Majlis Daerah Pasir Puteh mengadakan lawatan ke Dubai bagi mempelajari kaedah membina dan menguruskan pelabuhan.

Beliau berkata lawatan itu akan diketuai  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

“Lawatan ini  penting sebagai persediaan kepada perjalanan Pelabuhan Tok Bali yang  bakal menjadi pelabuhan terpenting negara.

“Sekarang  inipun walau ianya belum siap sepenuhnya, pelancong sering mengunjungi Tok Bali untuk meninjau perkembangannya,” ujarnya lagi.

Katanya, lawatan kerja itu juga untuk meninjau aspek pelabuhan termasuk menangani hakisan pantai di pelabuhan.

Pecah tanah tapak pelabuhan itu telah disempurnakan dengan rasmi oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada akhir Mac lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kota Darulnaim, di sini sempena majlis Aidilfitri Block 1, di sini kelmarin.

Tiada ulasan: