Rabu, 26 September 2012

UNISEL Bangunkan Penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan Jana Hasil Kewangan




BESTARI JAYA: Walaupun dikritik dan kemampuannya dipersoal, Universiti Selangor (Unisel) tetap berjaya mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan yang boleh menjana keuntungan kewangan.

Melalui Unit Kultur Tisu FaSBio, Unisel dijangka boleh menghasilkan anak pokok bagi tumbuhan yang mempunyai nilai komersil seperti orkid, tanaman perhiasan, herba, pisang dan nenas melalui teknik mikropropagasi.

Bagi peringkat permulaan, unit ini akan memberi tumpuan untuk menghasilan anak pokok orkid dan dijangka dapat menghasilkan sebanyak 7,000 anak orkid berkualiti setahun.

Unit ini diterajui Prof Madya Dr Aziah Mohd Yusoff yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang kultur tisu.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, geran permulaan bagi projek ini diperolehi daripada Kerajaan Negeri.



“Pemberian awal geran sebanyak RM 500 ribu dengan tujuan mengadakan pelbagai penyelidikan di Unisel membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan imej universiti ini setanding universiti lain di negara ini dan dunia,” katanya.

Anuar berkata demikian ketika berucap di Majlis Perlancaran Projek Kultur Tisu di bangunan Fakulti Sains & Bioteknologi Unisel Kampus Bestari Jaya hari ini.

Majlis ini disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, pembangunan penyelidikan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat setempat melalui hasil tani.

Katanya, penghasilan anak-anak pokok melalui teknik kultur tisu dapat mengurangkan kos pembelian anak-anak pokok di samping dapat meningkatkan kadar kemandirian anak-anak pokok.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Unisel kerana berjaya membangunkan projek ini dan diharap dapat memberi manfaat khususnya kepada petani di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, melalui aktiviti penyelidikan yang dijalankan, unit ini juga membuka peluang kepada graduan yang berminat untuk menyambung pengajian mereka di dalam bidang kultur tisu di peringkat Sarjana (M.Sc) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Di dalam waktu yang terdekat, unit ini dijangka dapat menjana kewangannya sendiri melalui penjualan anak-anak pokok, teknologi kultur tisu dan latihan jangka pendek yang ditawarkan.


Tiada ulasan: