Khamis, 27 September 2012

UIA hadapi masalah ‘pengundi hantu’ dalam sistem e-pengundian


KUALA LUMPUR — Pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberikan alasan peningkatan pengundi dalam sistem e-pengundian melebihi jumlah yang layak mengundi menyebabkan pilihan raya kampus (PRK) terpaksa ditangguhkan.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam, dalam kenyataan rasmi mengesahkan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, sepatutnya satu kuliah mempunyai 300 pengundi tetapi e pengundian mencatatkan jumlah melebih 2000 pengundi yang layak,” katanya.

Memetik laporan di Berita Harian hari ini, Dekan Bahagian Pembangunan dan Perhubungan Pelajar UIAM, Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman mengesahkan perkara tersebut dan dijangkakan pilihan raya semula akan diadakan pada minggu depan.

“Saya masih belum menerima laporan rasmi tetapi ia berpunca daripada masalah teknikal,” kata Dr Akmal kepada Berita Harian.

Dr Akmal juga berkata tarikh pilihan raya akan diputuskan hari selepas selesai bermesyuarat.

Disamping itu, beliau juga mempertahankan keupayaan sistem e-pengundian yang digunakan oleh semua universiti dalam PRK kali ini.

“Ia tidak berlaku di universiti lain kecuali di UIA,” kata Dr Akmal.

Bagi mengelak ia berulang, UIA dijangkakan beralih kepada sistem lama iaitu mengadakan pilihan raya secara manual.

Cadangan itu dilontar oleh Datuk Mizan dan Dr Akmal dalam kenyataanya hari ini juga menyuarakan pendapat sama yang mahu senat mengadakan satu lagi PRK secara manual.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang medianya berkata pihaknya telah menerima laporan awal yang mengatakan kelewatan itu disebabkan kesilapan teknikal dalam penggunaan sistem e-undi yang dikelolakan pihak bertanggungjawab di UIAM.

Sebanyak 32 kerusi dipertandingkaan melibatkan 18 kerusi di kampus Gombak dan 13 kerusi di kampus Kuantan.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam kenyataannya hari ini menggesa sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat segala aduan ketidak adilan dan penipuan yang berlaku dalam PRK sesi ini.

Beliau juga menyifatkan PRK yang berlangsung semalam telah menyaksikan penyelewengan dan penindasan ke atas hak demokrasi mahasiswa.

Tiada ulasan: