Rabu, 19 September 2012

Tunggu mandat akhir jika mahu PRU13 serentak, syor Pas

NURUL AINI MOHAMED ALI

mahfuz omar
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
 
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR -  Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sewajarnya tunggu sehingga mandat lima tahun berakhir jika ingin melihat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan serentak, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, hari ini.

Mahfuz berkata, pendekatan itu akan mengelakkan isu ada negeri yang mahu mengadakan pilihan raya umum negeri asing berbanding PUR13 peringkat persekutuan.

Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April 2013 manakala Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berperingkat di akhir Mei depan, bergantung pada tarikh sidang penggal pertama masing-masing.

Jika tidak, kata Mahfuz, negeri-negeri mempunyai kebebasan mengikut peruntukan perundangan untuk mengadakan pilihan raya Dun khususnya yang membabitkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu tegas beliau, tidak timbul isu kos yang bakal meningkat hingga lebih RM80 juta seperti yang didakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tertakluk di dalam undang-undang dibenarkan membuat pilihan raya Dun secara berasingan.

"Memang tidak menjadi masalah. Jika tidak, kita tunggu saja Dun akan terbubar sendiri bila mandat berakhir hujung bulan April tahun hadapan," katanya.

"Kalau negeri Sarawak boleh buat pilihan raya Dun asing, mengapa tidak Kedah?" ulasnya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media, hari ini.

Sebelum pertengahan 1990-an, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan. Sarawak sehingga kini masih mengadakan pilihan raya negeri berasingan, di mana kali terakhir ia berlangsung April 2011.

Bagaimanapun kata Mahfuz, Kerajaan Negeri Kedah masih lagi belum membuat keputusan untuk mengadakan PRU13 secara berasingan atau bersama-sama dengan Kerajaan Pusat.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memutuskan akan mengadakan pilihan raya secara berasingan kerana SPR masih lagi belum membersihkan daftar pemilih.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah yang pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah jika calon luar dari kedah mahu bertanding dalam kerusi di negeri itu.

"Pas Kedah tidak hadapi sebarang masalah jika ada calon luar yang mahu bertanding di Kedah. Apa yang penting, calon itu mestilah lebih kredibel dan lebih baik daripada anak Kedah sendiri, barulah layak menjadi calon," tegasnya.

Tiada ulasan: