Khamis, 27 September 2012

Tiada kebebasan selagi Najib guna akta zalim – Surendran

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR: KEADILAN menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi sepenuh kebebasan hak asasi kepada rakyat.

Ia susulan kenyataan Najib kononnya beliau telah memperkasa hak asasi di negara ini dalam satu Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2012, semalam.

“Najib berkata kononnya telah memperkasakan hak asasi manusia dan demokrasi dengan membatalkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dengan membenarkan kebebasan bersuara serta berhimpun melalui penggubalan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Himpunan Aman 2011.

“Padahal, penggubalan itu hanya membenarkan Najib mengekalkan cengkaman mereka terhadap kebebasan dan demokrasi di Malaysia,” kata Naib Presidennya, N Surendran dalam kenyataan.

ISA menerima kritikan dalam pengaplikasiannya terhadap kawalan isu awam sebelum ini dan diganti dengan Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang mengandungi peruntukan lebih keras dan ia turut dikutuk aktivis hak asasi manusia.

“Lebih serius, Najib sengaja tidak memansuhkan artikel zalim 149 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang anti-demokratik seperti ISA dan akta baru itu digubal,” kata Surendran lagi.

Menurutnya, penggubalan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 juga tidak memberi kesan dalam meningkatkan kebebasan media.

“Di bawah akta itu, kerajaan BN boleh batalkan lesen yang diperoleh media cetak pada bila-bila masa dengan sewenang-wenangnya,” jelas beliau.

Surendran yang juga peguam hak asasi berkata, kali pertama dalam sejarah perundangan Malaysia, demonstrasi jalanan dilarang sama sekali di bawah Akta Himpunan Aman.

“Hak untuk menjalankan demonstrasi jalanan adalah ciri utama demokrasi yang bekerja di seluruh dunia, malah Myanmar yang berada di bawah pemerintahan tentera pun membenarkan demonstrasi jalanan.

“Ia tidak masuk akal dan tidak logik untuk Najib mendakwa bahawa dia telah mencipta satu demokrasi terbuka dan dinamik melalui langkah yang tidak jujur dan dangkal,” tegasnya.

Tiada ulasan: