Isnin, 24 September 2012

Strategi Lautan Biru Untuk PRU-13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendekatan strategi lautan biru membantu kerajaan mencari idea baru dan kreatif dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Beliau berkata pendekatan itu meliputi dua cabang utama iaitu penambahan kadar pendapatan per kapita dan kesejahteraan kepada rakyat.

Di samping itu, pendekatan ini meliputi aspek pembinaan negara bangsa yang menuntut ketamadunan yang tinggi dengan memenuhi nilai keintelektualan, kesenian, kesusasteraan dan kemampuan untuk berinovasi.

"Kalau pasca kemerdekaan lebih 70 peratus bilangan penduduk masyarakat berada di desa dan luar bandar, kini lebih 70 peratus merupakan mereka yang tinggal di kawasan bandar.

"Urbanisasi berjalan pesat sekali. Kita perlu mengimbangkan kemampuan kerajaan supaya selain menekankan agenda luar bandar kita perlu tingkatkan lagi usaha membela masyarakat bandar supaya kesejahteraan bandar diperjuangkan oleh kita.

"Walaupun kita berbangga dengan cerita Malaysia sebuah negara berjaya tetapi cabaran menguruskan kejayaan ini menuntut kita melihat semula, mengorientasikan semula pemikiran kita supaya apa yang dilakukan oleh kerajaan menepati dengan perubahan landskap negara," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bangunan UTC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata pendekatan lautan biru itu mempunyai beberapa ciri yang memastikan objektif, peningkatan keberhasilan dan mampu mencapai objektif dengan kadar pelaksanaan pantas serta perbelanjaan paling minimum.

Kewujudan UTC di tengah bandar raya Kuala Lumpur itu menepati dua cabang utama dalam penambahan pendapatan per kapita dan memberi keselesaan serta kesejahteraan, katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menyediakan perkhidmatan dalam satu pusat sehenti di bawah satu bumbung dan ia juga mencatat rekod yang sama dibina dalam masa enam minggu, seperti UTC di Melaka.

Bangunan empat tingkat itu menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan beroperasi setiap hari, termasuk Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata UTC memberi keselesaan dan kemudahan kepada warga kota untuk membuat urusan.

Nong Chik berkata penghuni kota selalu berdepan masalah lalu lintas dan tempat meletak kenderaan dan kewujudan UTC ini dapat menjimatkan masa selain membuktikan semua janji kerajaan kepada rakyat ditepati.

Seorang pengunjung, Mohd Arif Sulaiman, 45, berkata lokasi UTC, di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan dibuka setiap hari itu memudahkan rakyat untuk membuat urusan dengan cepat.

Katanya dengan penambahan penduduk kota, pusat seumpama itu sememangnya amat diperlukan.

"Kita tahu Kuala Lumpur ni selalu ada trafik yang teruk. Untuk buat satu urusan contohnya perbaharui pasport sudah ambil masa satu hari," katanya.

San Tin Sant, 54, turut gembira kerana beliau tidak berkunjung ke Pusat Bandar Damansara untuk berurusan dengan Jabatan Pendaftaran dan Imigresen.

"Dulu saya kena pergi sana...jauh untuk selesaikan urusan pasport dan kad pengenalan anak saya," katanya.

Pelajar kolej swasta, K. Shalini, 23, berkata beliau tidak lagi berasa takut untuk mengunjungi stesen bas di Jalan Pudu selepas kerajaan menambah baik stesen itu sehingga menjadi sebuah bangunan eksklusif.

"Stesen bas Puduraya yang dulunya sangat tidak selamat tetapi sekarang bertukar sekelip mata menjadi bangunan eksklusif," katanya.

Selain menempatkan jabatan dan agensi kerajaan serta swasta, UTC juga memberi kemudahan kepada pengguna menerusi Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia.

UTC juga menyediakan kemudahan rekeasi seperti gelanggang Futsal, 'Wall Climbing', Pusat Kecergasan dan studio Aerobik. (Bernama)

Tiada ulasan: