Khamis, 6 September 2012

'Semua Exco adalah Timbalan MB', kata Azizan

ROSLINDA HASHIM

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak
 
ALOR SETAR - “Semua Exco adalah Timbalan Menteri Besar,” tegas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, apabila ditanya desakan beberapa pihak yang mahu Kerajaan Negeri mewujudkan jawatan itu, ekoran masalah kesihatan beliau.

Katanya, sepanjang beliau bercuti sakit, semua anggota Exco menjalankan tugas dengan baik, bukan sahaja bawah portfolio masing-masing, termasuk membantu memantau portfolio yang disandangnya.

“Mereka buat kerja dengan cemerlang semasa ketiadaan saya di pejabat. Tiada perkara yang tertangguh sepanjang saya bercuti. Semuanya berjalan lancar kerana Exco tahu tugas masing-masing,” katanya, pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Ketika ditanya keperluan membincangkan perkara itu, memandangkan jawatan Timbalan Menteri Besar dicadangkan semula selepas Azizan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu, Azizan berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga tidak mewujudkan jawatan itu ketika bekas Menteri Besar,Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sakit.

“Masa BN dulu mereka tidak buat pun. Masa itu pun, ada kes sakit juga,” katanya.

Pada 29 Ogos, Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan supaya jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan bagi meringankan beban tugas yang dipikul Menteri Besar, terutama ketika beliau sakit, bukannya bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas Menteri Besar.

Tiada ulasan: