Rabu, 26 September 2012

Selangor minta siasat tanah Mardi dijual murah

 
Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari mendakwa, tanah berkeluasan kira-kira 200 ekar itu akan dijadikan tapak universiti swasta.



SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan hasrat menjual tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berstatus pertanian di Serdang kepada pihak swasta.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari mendakwa, tanah berkeluasan kira-kira 200 ekar itu akan dijadikan tapak universiti swasta.

Sedangkan menurut beliau, tanah Mardi itu diberi sekian lama bagi tujuan penyelidikan dan bukan untuk komersil.

Beliau turut mendakwa, Mardi dipaksa menjual tanah itu dengan harga yang rendah berbanding pasaran.

RM14.30 sekaki persegi?

“Mana-mana pihak swasta yang mahu buat pembangunan, kerajaan negeri bantu sediakan tapak yang berdekatan. Tapi bukan untuk tanah ini yang merupakan satu-satunya tapak terbaik untuk pertanian di Selangor.

“Saya difahamkan tanah itu dijual RM14.30 sekaki persegi sedangkan jika ikut harga pasaran ia patut dijual dengan RM35 sekak persegi. Tapi itu perkara utama kerana tanah ini untuk pembangunan dan penyelidikan,dan bukan tujuan komersil.

“Maka saya mohon agar menteri berkaitan menasihati kabinet untuk tidak menjual tanah ini. Ini tanah awam untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya ketika sidang media di pejabat beliau petang tadi.

Yaakob berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau pada mesyuarat exco minggu lalu, dan kerajaan negeri berhak menolak permohonan pihak swasta tersebut.

Ini katanya, sebarang permohonan untuk menukar status tanah dari pertanian kepada perniagaan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri.

Tanah milik Mardi ni sebahagiannya telah dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan ia merupakan pusat pameran pertanian terbesar di Malaysia.

Tiada ulasan: