Ahad, 16 September 2012

Sejarah bendera PAS

Oleh Burung Punggok
Bendera PAS ialah merah putih dengan bulan hijau di penjuru kiri atas. Kalau bendera merah putih itu bernama Sang Saka, maka bendera PAS itu boleh disebut sebagai Sang Saka Purnama Hijau. Tetapi bendera PAS tidak ada nama rasmi.

Lambang PAS yang terkenal, bulatan putih di atas latar hijau bukannya bendera parti. Ia adalah lambang parti di atas kertas undi walaupun paparannya di situ tidak berwarna.

Sehingga ini tidak ada sesiapa yang mahu memberi nama pada bendera PAS. Apa lagi jika disebutnya sebagai Sang Saka, umpamanya Sang Saka Purnama, Sang Saka Ummah atau Sang Saka PAS. Perkataan Saka seperti tidak Islami kerana dikaitkan dengan pemahaman khurafat.

Namun perkataan Sang Saka itu bukanlah sesuatu yang mengandungi perkara mistik. Saka di sini bermaksud pusaka. Jadi bendera yang dinamakan oleh pejuang kemerdekaan Indonesia itu sebagai Sang Saka Merah Putih merujuk kepada panji-panji yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan Nusantara silam, antaranya Majapahit.

Untuk mengetahui mana kerajaan silam menggunakan panji-panji merah putih, perlulah kajian berasingan. Tetapi nasionalis Indonesia membuat keputusan bahawa panji-panji merah putih dijadikan bendera negara baru mereka.

Tetapi merah putih itu bukan melambangkan negara Indonesia semata-mata tetapi juga suatu fahaman nasionalisme kemerdekaan revolusiomer bagi Nusantara.

Dengan semangat inilah juga Kesatuan Melayu Malaya (KMM), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) mengibarkan Sang Saka Merah Putih sebagai bendera mereka.

Ketika PKMM menjadi anggota UMNO, mencadangkan supaya bendera pertubuhan itu ialah Sang Saka Merah Putih. Tetapi anggota memilih bendera merah putih dengan bulatan kuning di tengah beserta keris hijau.

Akibatnya PKMM bertindak keluar dari UMNO kerana menyifatkan pertubuhan itu tidak memperjuangkan semangat nasionalisme kemerdekaan revolusioner.

Apabila PKMM menyertai Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan bermuafakat dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) mencadangkan Perlembagaan Rakyat, maka bendera yang dicadangkan ialah merah putih dengan 11 bintang putih mewakili negeri-negeri di Tanah Melayu.

PKMM kemudian terbubar dengan pemimpin-pemimpinnya menerajui Partai Rakyat Malaya (PRM) dan PAS. Bendera PRM ialah merah putih dengan kepala seladang hitam di tengah-tengah. Bendera yang serupa turut digunakan oleh Parti Rakyat Singapura dan Parti Rakyat Brunei.

Bendera awal PAS ialah merah putih dengan bulatan putih di penjuru bersama perkataan PAS dalam tulisan jawi. Pada masa itu, lambang PAS ialah bulan sabit dan bintang putih berlatar hijau iaitu lambang Islam.

Menjelang kemerdekaan, bekas ahli PKMM, Ghafar Baba yang menjadi ketua menteri mencadangkan bendera negeri itu ialah merah putih dengan penjuru atasnya warna hijau sebagai lambang hijau. Tetapi Tunku Abdul Rahman menukarkannya ke warna biru seperti yang ada sekarang.

Singapura kemudian mengibarkan bendera rasminya yang berlatarkan merah putih juga. Begitu juga dengan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Setelah lambang PAS bulan sabit diharamkan, parti ini mengambil lambang bulan purnama penuh. Benderanya juga diterterakan bulan purnama hijau seperti yang ada hari ini.

Ketika Ahmad Boestamam keluar dari Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) dan menubuhkan Parti Marhaen, bendera yang dikibarkan ialah merah putih dengan di tengah-tengahnya seladang hitam sedang melompat.

Semasa Abdul Rahman Yaakob menjadi Ketua Menteri, beliau menukar bendera Sarawak kepada merah putih dengan tiga sedi biru dihujungnya. Namanya ialah Sang Saka Triwarna.

Setelah bertahun-tahun tidak bernama, UMNO kemudian menamakan benderanya Sang Saka Bangsa.
Bendera rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bernama Sang Saka tetapi Sang Saka Biru.

Ada satu lagi pertubuhan yang benderanya seperti Sang Saka. Cumanya bendera Gerakan Belia 4B mempunyai warna putih di atas, dan merah di bawah.

Tiada ulasan: