Selasa, 11 September 2012

Sanggup hadapi saman Kerajaan Negeri Selangor

NURKHAIRINI JUMARI

Peter Chin Fah Kui
Peter Chin Fah Kui

PUTRAJAYA –  Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tetap akan diteruskan walaupun Kerajaan Persekutuan bakal berhadapan tindakan undang-undang daripada Kerajaan Negeri Selangor, tegas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Malah menurutnya, pembinaan Loji Rawatan Air itu mesti disegerakan dan keseluruhan projek berkenaan perlu disiapkan menjelang 2016 bagi mengelakkan krisis bagi penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kalau dia (Kerajaan Negeri) hendak ambil tindakan undang- undang, itu hak dia, terpulanglah sebab dia ada kuasa tetapi kita kena tahu apabila kita ambil sesuatu tindakan. Apakah kesannya terhadap  bekalan air untuk rakyat akan datang.

“Kita hendak teruskan pembinaan loji ini, anda (Kerajaan Negeri) boleh cuba untuk menghentikan. Kalau anda pergi ke Mahkamah untuk memberhentikan proses pembinaan ini, anda kena ambil tanggungjawab dan kesannya  projek ini tidak diteruskan kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 hasil dari keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Isu Air, setelah mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

“Sampai bila hendak pertikai itu ini?. Tender juga telah dibuka, diiklankan di Akhbar dan juga laman web. Kita lakukan ini setelah mendapat khidmat nasihat dari Peguam Negara.

“Kita tidak mahu melengahkan pembinaan Loji Rawatan Langat 2 ini. Tarikh tutup tender terbuka adalah 30 November ini dan kita akan lakukannya secepat mungkin bagi mengelakkan krisis air berlaku,” katanya.

Peter Chin berkata,  rundingan air antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan terus mengalami kebuntuan sekiranya kerajaan negeri berkenaan tidak bersedia untuk mengasingkan isu urusan penstrukturan semula bekalan air negeri daripada pembinaan loji rawatan air Langat 2.

“Kerajaan Selangor tidak seharusnya mengaitkan kelulusan untuk membina loji rawatan air Langat 2 dengan urusan penstrukturan semula bekalan air negeri yang sedang dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Langat 2 adalah perkara lain. Ia sebuah projek prasarana yang perlu dilaksanakan. Ia bukan suatu perjanjian komersial,” katanya.

Menurutnya, pembinaan Loji Rawatan Langat 2 ini dilihat sebagai keperluan mendesak kerana kawasan Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya bakal berhadapan krisis air 2016 jika projek ini tertangguh.

“Kerajaan Persekutuan sudah mengambil langkah menerusi pelan mitigasi untuk mengatasi masalah ini lebih awal dan menambah kapasiti air di Lembah Klang terutama untuk Selangor sehingga 2016.

“Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina segera kerana bekalan air tidak cukup. Permintaan air terawat meningkat dan kita perlu loji baru. Nak bina loji baru perlukan masa dan kenalah mulakan sekarang,” katanya.

Katanya, Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM600 juta bagi melaksanakan pelbagai pelan mitigasi untuk mengelakkan krisis bekalan air, termasuk membina Empangan Sungai Labu serta loji rawatan air dengan kos RM278 juta.

Selain itu, kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta bagi memperbaiki paip air pecah berikutan keengganan Kerajaan Selangor menggantikan paip yang kebanyakannya usang.

Tiada ulasan: