Sabtu, 8 September 2012

Solidariti buat Sabah dan Sarawak

Oleh : Adil Mat Selamat

 

Persepsi

Rata-rata orang semenanjung memandang sinis dengan warga Sabah dan Sarawak kerana ‘membiarkan’ undi mereka menjadi simpanan tetap oleh puak-puak Barisan Nasional.

Ini diburukan lagi apabila keadaan sosioekonomi di negeri-negeri timur ini tidak sesubur berbanding di semenanjung. Persepsi ini dikukuhkan lagi apabila kita paparkan gambar-gambar realiti kehidupan keadaan disana.

Ada pelbagai reaksi dari rakyat khususnya rakyat semenanjung, ada yang bersedih melihat keadaan rakyat Sabah Sarawak, ada yang marah malah ada juga yang terus menyalahkan rakyat Sabah dan Sarawak sendiri.

Hakikatnya, paparan gambar-gambar tersebut adalah untuk membawa satu mesej yang sangat jelas iaitu warga Malaysia, khususnya undi rakyat di semenanjung Malaysia mestilah solid untuk Pakatan Rakyat. Hanya inilah jalan terbaik untuk rakyat semenanjung membantu saudara-mara kita di tanah borneo itu.

Azam untuk Ubah

Kesedihan kita boleh diubat, kemarahan kita boleh diterjemah menjadi dukungan yang praktis apabila telah nyata azam kita dalam PRU 13 ini nanti. Tetapi jika hanya menyalahkan saudara-mara kita di Sabah dan Sarawak kerana membiarkan ditipu oleh BN, ia tidak akan membantu sama sekali baik kita disemenanjung malah saudara-mara di Sabah dan Sarawak.

Kita semua tahu bahawa pembohongan BN baik diperingkat negeri mahupun pusat terhadap rakyat Sabah dan Sarawak, telah menjadi rahsia umum. Ahli-Ahli Parlimen mereka sendiri sudah tidak sanggup bersengkongkol dengan BN.

Dalam masa yang sama, BN pula pastinya akan menuding jari ke atas PR mengatakan kita pula yang berbohong. Cerita ini tidak akan ada kesudahannya, tetapi yang pasti, paparan-paparan kita ini adalah bukti bagaimana janji hanya tinggal janji.

Baru-baru ini Tun M dalam satu kenyataan di Malaysiakini telah meminta rakyat Sabah dan Sarawak bersabar, kerana hasil buminya (yang kaya) sedang dipunggah dan ia akan mengambil masa untuk diagihkan hasilnya. Kenyataan Tun M ini seolah-oleh memperlekeh intelek rakyat Malaysia khususnya anak Sabah dan Sarawak.

Bukankah Sabah dan Sarawak telah bersama-sama membentuk Malaysia sejak 1963, sudah berapa tahun hasil bumi Sabah dan Sarawak ini sudah dipunggah? Apakah hingga kini belum ada hasilnya? Berapa lama lagi patut rakyat Sabah dan Sarawak menunggu?

Kerja bersama-sama

Kita warga semenanjung harus membantu menyebar dan menyedarkan sahabat dan keluarga kita bagaimana keperluan dan hak rakyat Sabah dan Sarawak telah diabaikan oleh BN. Janji kerajaan yang kita pilih ini (Barisan Nasional) kepada sabah dan Sarawak tidak ditunaikan kepada saudara-mara kita disana.

Tidakkah kita malu apabila hasil negara dari cukai hasil bumi Sabah dan Sarawak sekitar empat puluh peratus, dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia? sedangkan rakyat yang menyumbang hasil kerajaan yang kita pilih (BN) ini telah mengabaikan pembangunan hidup saudara-mara kita di sana.

Jika disebut bagaimana undi yang solid rakyat semenanjung kepada PR boleh membantu saudara-mara kita di Sabah dan Sarawak, jawabnya sangat mudah iaitu, PR telah berjanji untuk meningkatkan lagi hasil royalti minyak dan gas sebanyak dua puluh peratus kepada negeri Sabah dan Sarawak berbanding lima peratus yang dinikmati oleh mereka ketika ini.

Bukankah ini banyak? Hasil bumi ini bukan berjumlah satu atau dua puluh ribu tetapi puluhan juta.

Ini bermakna, apabila kelak PR memerintah Putrajaya, royalti dua puluh peratus ini dapat digunakan oleh negeri (rakyat) Sabah dan Sarawak untuk meneruskan pembangunan ekonomi dan sosial negeri mereka. Jika tidak, pasti kita dengan sengaja telah membiarkan pemerintahan tirani kepada saudara-mara kita di Sabah dan Sarawak.

Jika BN juga pada ketika ini ingin menawarkan jumlah royalti yang sama kepada Sabah dan Sarawak, janganlah kita tertipu dengan silap mata ini lagi. Bukankah BN sendiri yang mengatakan bahawa ‘janji ditepati’, tetapi lihatlah apa yang masih berlaku pada hari ini?

Beritahu pada saudara-mara kita di Sabah dan Sarawak, kali ini kita akan bekerja bersama-sama untuk mengubah nasib dan masa depan anak-anak kita – di semenanjung, di Sabah dan Sarawak.-roketkini.com

Tiada ulasan: