Jumaat, 7 September 2012

Rogol statutori: Sangat malang kepada wanita

Salmiyah Harun,
KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah dalam dua kes rogol statutori baru-baru ini bukan sahaja memberi implikasi kepada agama tetapi nilai maruah yang mungkin akan diketepikan masyarakat.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Mohd Nawi tidak menyambut baik hukuman yang dikenakan terhadap pesalah dalam kes terbabit.

"Masyarakat akan keliru, seolah-olah kita banyak pendirian yang berubah-ubah khususnya dari sudut mencegah masyarakat daripada mengulangi perkara sama," katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, peruntukan undang-undang harus saksama tidak kira darjat malah ia perlu menilai apakah hukuman itu boleh mencegah berulangnya perbuatan seperti itu.

"Kita mahu apa-apa yang dinikmati harus mengikut agama dan undang-undang," katanya.

Beliau melahirkan kekesalan dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang mudah perkara itu dan memberi hukuman yang terlalu ringan.

"Misalnya kalau dia (pemain boling) buat baik kita boleh bagi bonus tapi kita tidak boleh maafkan kesilapan dia. Hukuman itu terlalu ringan," katanya yang juga pengamal undang-undang.

Tambahnya, apabila melibatkan perkara seksual ramai menganggap ianya adalah peribadi dan bergantung kepada kerelaan.

"Bila kerelaan dalam kes membabitkan budak bawah umur ianya tidak sah apatah lagi melibatkan soal maruah diri.  Misalnya dia rela tetapi tidak faham apa akibat daripada kerelaan itu.

"Sebab itu kita lihat negara barat penzinaan budak bawah umur satu kesalahan yang dikenakan hukuman mandatori walaupun bawah umur sebab kerelaan ini bukan kerelaan penuh kerana dia belum matang lagi," katanya.

Beliau juga kecewa, dahulu penzinaan akan dipandang satu kesalahan dosa besar sekarang ini masyarakat melihat ia seperti perkara biasa hanya disebut sebagai 'terlanjur'.

Situasi inilah katanya,  memberi implikasi besar kepada masyarakat hari ini apabila terlanjur akan anggap ia perkara enteng.

Hakikatnya, jelas Mumtaz ia membabitkan soal maruah dan jati diri, dara dan teruna akhirnya memberi kesan kepada hilangnya harga diri

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat Pusat Aiman Athirah Al-Jundi berkata, keputusan mahkamah baru-baru ini dalam dua kes rogol statutori yang menurutnya "sangat malang kepada wanita Malaysia".

Katanya, perkembangan ini adalah suatu yang sangat malang kepada wanita Malaysia, apatah lagi di kala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sendiri diterajui oleh seorang Perdana Menteri.

"Bahkan ia jelas suatu yang sangat memalukan seluruh kaum wanita dan institusi wanita di seluruh negara," katanya.

Keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Tiada ulasan: