Selasa, 4 September 2012

Ramai wanita luar bandar tidak buat ujian mammogram, kanser payu dara

THE MALAYSIAN  INSIDER
 
KUCHING — Masih ramai golongan wanita di luar Bandar, khasnya yang berusia 40 tahun ke atas, tidak membuat ujian mammogram dan saringan mengesan kanser payu dara.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata kadar kes kanser yang dilaporkan di Sarawak ketika ini hanya 275 kes, iaitu berdasarkan rekod daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) dan jumlah itu dijangka lebih tinggi jika wanita di luar bandar turut membuat pemeriksaan kesihatan.

“Jangan kita beranggapan wanita kaum Cina lebih banyak menghidap kanser payu dara kerana mereka sebenarnya banyak membuat pemeriksaan penyakit tersebut berbanding kaum lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Biro Wanita dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara akan menganjurkan lebih banyak program pemeriksaan dan saringan percuma mengesan kanser payu dara bagi mereka berpendapatan kurang RM3,000.

Menurutnya sejak program tersebut dibuat tahun lalu pihaknya berjaya membuat 4,070 ujian mammogram termasuk kalangan wanita di luar bandar dan untuk tahun ini lebih 4,000 ujian mammogram dibuat setakat Jun lalu. — Bernama

Tiada ulasan: