Sabtu, 8 September 2012

Projek Laguna Mersing dibatal, titah Sultan Johor

Wartawan Sinar Harian

Sultan Johor
Sultan Johor
 
SENAI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengumumkan pembatalan projek mega di Mersing, Laguna Mersing kerana pemaju gagal mematuhi syarat perjanjian.

Titah Sultan Ibrahim, baginda memantau sendiri kemajuan projek terbabit yang diumumkan pelaksanaannya pada 14 April lalu.

"Pemaju telah gagal untuk memenuhi syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani pada 25 Februari lalu," titah baginda di sini, hari ini.

Mengikut perjanjian, pihak pemaju hendaklah meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta, namun sehingga  hari ini, selepas tamat tempoh enam bulan, pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut.

"Dengan kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya terbatal," titah baginda pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini.

Baginda turut mengingatkan mana-mana pihak untuk jangan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan di negeri ini.

"Negeri Johor memang sedang pesat membangun dan sentiasa terbuka kepada mana-mana pemaju yang betul-betul komited, mempunyai kepakaran dan modal yang nyata.

"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titah Sultan Johor.

Baginda akan perhatikan setiap yang berlaku di negeri ini bagi menjamin pembangunan yang dibuat benar-benar memberi faedah kepada rakyat.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerak Khas menegaskan, jawatanya bukan sebagai sandaran dan baginda mahukan segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan kepada tuanku dan tidak membelakanginya.

"Dukacita saya maklumkan sehingga hari ini kelengkapan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas masih tidak mencukupi dan segala permintaan yang dibuat masih tidak diendahkan dan seolah-olah kor ini dianaktirikan," titah baginda.

Tiada ulasan: