Jumaat, 7 September 2012

PKR: Pandangan peribadi Rahim Noor cubaan takutkan rakyat

Wartawan Sinar Harian

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM – Dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa  wujud gerakan yang mahukan kemerdekaan kali kedua, hanya pandangan berbentuk peribadi dan cubaan menakutkan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, rumusan beliau daripada keadaan semasa itu tidak menggambarkan keadaan sebenar dengan hanya menerima maklumat melalui media arus perdana semata-mata.

Menurut Rafizi, adalah amat malang kenyataan Rahim Noor itu juga seolah-olah menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) tidak menghormati kemerdekaan negara.

Katanya, dalam isu menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya yang dilakukan golongan muda sewaktu perhimpunan baru-baru ini juga tidak dipersetujui dalam kalangan pimpinan PR.

"Meskipun kata-katanya berlapik, beliau telah melontarkan pandangan bahawa kejadian itu didalangi PR dan itu jelas terbawa dengan politik yang cuba menimbulkan kemarahan rakyat terhadap PR," katanya kepada Sinar Harian.

Rafizi berkata, Pakatan sentiasa menghormati kemerdekaan negara ini yang sejak 1957 telah mencapai kemerdekaan.

Kelmarin, Rahim menggambarkan wujud satu gerakan mahu mahu memerdekakan negara buat kali kedua.

Ini rentetan daripada suara-suara yang menginginkan  Perlembagaan Negara  dan institusi Raja-Raja Melayu dihapuskan.

Gambaran itu juga diperkuatkan dengan tindakan memperkenalkan bendera ‘Sang Saka Malaya’  pada Perhimpunan Janji Bersih sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam hal itu Rafizi berkata, Pakatan melalui dasar bersama dan Buku Jingga  sentiasa menjunjung prinsip Perlembagaan Negara, dan menghormati raja-raja Melayu.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan, kenyataan Rahim  seperti mana sebelum ini dalam Bersih 3.0, hanyalah cubaan mewujudkan ketegangan serta mewujudkan kebencian kepada Pakatan.

Tiada ulasan: