Rabu, 26 September 2012

‘Pertumbuhan’ M’sia dan dana asing

Oleh Ahmad Fuad Rahmat
 
Malaysia memang mempunyai isu dana luar, tetapi jangan pandang pada Suaram, kata Ahmad Fuad Rahmat.

 


Pemburuan mutakhir terhadap Suaram kerana menerima dana luar tidak harus membuatkan kita lupa suatu fakta kunci: bahawa pendekatan keseluruhan Malaysia ke arah pembangunan pada kenyataannya bergantung kepada dukungan dana asing.

Pada 2010 pelaburan asing ke Malaysia adalah yang terpantas di Asia.

Pada tahun 2011, kerajaan Malaysia telah membenarkan sekurang-kurangnya 17 perkhidmatan sub-sektor untuk diliberalisasikan, yang membenarkan 100% ekuiti asing.

Tindakan yang dikatakan “sub-sektor” ini merangkumi: perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkisektur; kejuruteraan, perakaunan dan percukaian, khidmat nasihat guaman, khidmat kurier; khidmat pendidikan dan latihan; dan juga khidmat telekomunikasi.

Ditilik secara dekat perkhidmatan ini yang terbuka pada pemilikan asing sesungguhnya mempunyai dampak yang jauh: bahkan ia meliputi “perkhidmatan kebajikan yang disampaikan melalui institusi perumahan kepada warga tua dan kurang upaya” dan “pusat penjagaan harian kanak-kanak termasuk khidmat penjagaan harian kepada orang kurang upaya.”

Kenyataan bahawa kesihatan dan pendidikan asas di Malaysia telah dibuka kepada pemilikan asing wajar memprihatinkan kita. Keperluan kita yang asas sedang dilelong untuk meraih keuntungan asing.

Lynas hanya satu contoh ketara apa yang telah dipertaruhkannya. Exxon Mobil, syarikat yang mempunyai simpanan yang terbesar di dunia, yang purata pendapatan tahunannya lebih besar dari Malaysia, juga berada dalam senarai, ketika ini beroperasi di luar pantai Terengganu.

Percubaan untuk menarik pelabur asing multinasional untuk menyelenggarakan khidmat pengurusan perbendaharaannya di Malaysia telah memaksa kerajaan untuk menawarkan kepada mereka potongan cukai sehingga 70 peratus selama lima tahun.

Sehingga ini, terdapat banyak juga perbincangan tentang keperluan untuk melangkaui had 30% dalam pemilikan asing terhadap bank tempatan, walaupun untuk bank-bank Islam, bank-bank pelaburan dan syarikat-syarikat insurans hak pemilikan asing telah ditingkatkan kepada 70%.

Sektor perumahan dan pemilikan tanah


Sejak 2006, mana-mana pelabur asing – yang kini mempunyai hak pemilikan harta seperti rakyat Malaysia – yang berhasrat membeli sebidang hartanah berharga lebih dari RM250,000 tidak perlu merujuk kepada Jawatankuasa Pelaburan Asing (sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri) tidak juga perlu membayar kepada Cukai Perolehan Hartanah Sebenar.

Nisbah terkini bagi pemilik harta luar kepada pemilik harta tempatan di Kuala Lumpur sahaja adalah 30:70.

Adakah rakyat Malaysia mendapat manfaat?

Respon defensif dan konservatif kepada semua ini adalah untuk menekankan bahawa pelaburan asing mewujudkan peluang pekerjaan manakala dana asing untuk NGO hanya sekadar mengganggu politik tempatan.

Respon itu salah. Liberalisasi perdagangan telah diikuti oleh liberalisasi tenaga pekerja. Ini mempunyai kesan terhadap sektor pekerjaan bergaji rendah khususnya, satu prospek yang menarik untuk syarikat-syarikat yang ingin beroperasi dengan tahap peraturan yang minimal sambil membayar pekerja semurah mungkin.

Menurut REFSA, bagi setiap sepuluh pekerja di Malaysia, empat adalah pekerja asing.

Dengan kata lain, golongan pekerja gaji rendah Malaysia sekarang perlu bersaing pula dengan buruh-buruh asing yang juga upahannya rendah.

Berdasarkan realiti ini, bolehkah kita benar-benar mengharapkan apa-apa peningkatan gaji bagi 33% daripada tenaga kerja Malaysia yang berpendapatan RM700 sebulan?

Kempen kerajaan ke atas Suaram


Sejauh manakah kita boleh menaruh keyakinan yang serius terhadap dakwaan BN bahawa bantuan kecil yang diraih Suaram dari rakan internasionalnya telah “mencampuri urusan dalaman sebuah negara yang berdaulat”, jika tuduhan tersebut lebih tepat ditempah untuk strategi pembangunan kerajaan secara keseluruhan?

Senario hipokritikal ini terserlah kepada semua untuk melihat: Kerajaan berhasrat meliberalisasikan ekonomi untuk pelaburan asing sebanyak mungkin.

Pembangunan, mengikut metod ini, bukan berpaksi hak asasi manusia, ketelusan, keadilan, atau kualiti hidup dan pelajaran tetapi penimbunan materialistik dengan bantuan pelaburan asing.

Globalisasi dijana untuk memberi manfaat kepada golongan elit, bukan untuk peningkatan mutu demokrasi Malaysia.

Pada masa yang sama, ia mengganggu sebuah NGO kecil yang memperjuangkan hak-hak rakyat. Ia mengambil setiap peluang yang ia dapat untuk menggemparkan retorik “orang asing” vs “Malaysia”.

Kerajaan menghayunkan keris nasionalis-Melayu chauvinis dalam menanam ketakutan kaum dan xenophobic yang tidak masuk akal dikalangan kelas pertengahan Melayu. Tetapi di hadapan negara dunia yang terkaya, ia mengukir senyum reformis kosmopolitannya.

Ahmad Fuat Rahmat adalah felo penyelidik di Islamic Renaissance Front

Tiada ulasan: