Lima belas lagi NGO di daerah Petaling Jaya hari ini bergabung membuat laporan polis berhubung tindakan peserta Himpunan Janji Demokrasi memijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan 'bendera baharu' pada sambutan ambang Merdeka 30 Ogos lepas.

Jurucakap NGO berkenaan, PERKASA Daerah Petaling Perdana Abd Hadi Mat Jani berkata tindakan segera perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan peguam negara terhadap peserta perhimpunan itu yang jelas melampaui batas.

"Pihak yang membawa bendera baharu pada perhimpunan itu juga tidak harus dibiarkan tanpa dihadapkan ke muka pengadilan kerana perbuatan mereka jelas bertentangan undang-undang dan menghina Jalur Gemilang yang menjadi bendera negara selama ini," katanya.

"Kami NGO di Petaling Jaya mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kejadian yang melukakan hati semua warga Malaysia," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya selepas membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Selepas laporan polis itu dibuat, kira-kira 50 anggota NGO berkenaan turut mengadakan perhimpunan dan membakar bendera 'Sang Saka Malaya' bagi mengecam tindakan peserta perhimpunan Janji Demokrasi itu.- Bernama