Khamis, 13 September 2012

Penarik kereta didakwa tipu 'Tan Sri'

SINARHARIAN

 KUALA LUMPUR - Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar "Tan Sri", bulan lepas.

Ng Kiem Huat, 33, dari Klang, Selangor didakwa menipu Tan Sri Januar Yahya, 53, sehingga mendorong ahli perniagaan itu menyerahkan wang tunai RM600 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung S3 sebagai wang deposit untuk tujuan pembayaran bagi pembelian sebuah telefon bimbit jenis Apple 4S.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Crossroad Coffee House di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail di sini pada 11.05 malam 19 Ogos lepas.

Sementara itu, Ng turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang peniaga, Ng Kim Chuan sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM12,000 kepada tertuduh untuk tujuan pembayaran wang bagi pembelian 10 unit iPad3, yang merupakan barangan rampasan kastam.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kafe Starbucks di Tingkat 1, Time Square, Dang Wangi di sini pada 20 April lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius sehingga menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian RM12,000.

Ng, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan itu dikurangkan kerana dia hanya mempunyai pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang tua.

Majistret Amal Razim Alias membenarkan Ng diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.- Bernama

Tiada ulasan: