Seorang peguam hari ini menyarankan polis supaya tidak melakukan siasatan terpilih dalam kes seperti tindakan seorang peserta perhimpunan menunjukkan punggung pada gambar Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, tindakan serupa juga sebelum ini dikesan dilakukan sekumpulan individu yang membuat senaman punggung di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga.

NONEBaljit mempersoalkan perkara itu memandangkan sekumpulan pesara tentera daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang berbuat demikian pada Mei lalu tidak dikenakan apa-apa tindakan, katanya.

"Kenapa tindakan tidak diambil (dalam kes PVTM?)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sekiranya kes melibatkan insiden di Dataran itu berlarutan ke mahkamah, peguam akan mempersoalkan mengapa berlaku "pilih kasih" dalam kes tersebut, katanya.

Jelasnya, polis tidak mengambil tindakan apabila gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga dipijak dan oleh sekumpulan angota pertubuhan PERKASA dalam satu insiden sebelum ini.

Dalam kenyataannya semalam, Lim berkata anggota NGO pro-Melayu itu juga membakar dan gambarnya dalam satu demonstrasi yang diadakan di perkarangan bangunan Komtar di Pulau Pinang.

NONEMengulas perkara itu, Baljit berkata keadaan itu menunjukkan "keseimbangan" dalam tindakan polis yang menangani kes berkenaan.

"Mengikut perkara ini, betul seperti yang dikatakan oleh (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng. Dia kata gambar beliau juga dipijak, dan seperti yang berlaku di hadapan rumah Ambiga – tapi tak ada apa-apa tindakan yang diambil.

"Saya lihat tak ada keseimbangan dalam hal ini. Diharap tak ada siasatan terpilih yang dilakukan," kata Baljit yang menambah, individu yang melakukan kesalahan menunjukkan punggung mungkin boleh didakwa kerana mengikut Kanun Jenayah kerana berkelakuan tidak senonoh.

Mengulas mengenai tindakan individu yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada perhimpunan berkenaan, Baljit berkata perkara itu merupakan kesalahan yang boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

NONE''Dalam isu bendera, memang kita ada akta yang boleh digunakan sebab melibatkan bendera negara iaitu Akta Hasutan," katanya lagi.

Polis semalam menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun, dari Batu Pahat, Johor di sebuah kolej di Cheras bagi siasatan berhubung insiden menayangkan punggung ketika perhimpunan pada sambutan ambang kemerdekaan itu.

Polis juga meminta individu yang mengibarkan Sang Saka Malaya ketika perhimpunan tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan.

Polis membentuk tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan peserta perhimpunan itu mengikut Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan.