Selasa, 11 September 2012

Pas lebih tahu Nasha, Majlis Syura pilih jalan terbaik

ROSMIZA KASIM

Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah
Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan menegaskan anggota Majlis Syura Pas lebih mengetahui tahu apa yang diperjuangkan mereka mahupun sebarang keputusan terbaik untuk parti berbanding pihak lain.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, disebabkan itu  dalam isu kedudukan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa terbabit, Majlis Syura sudah memilih jalan terbaik dalam membuat pendirian.

“Biarpun mesyuarat malam kelmarin tidak membincangkan kedudukan Nasharudin tetapi Pas Kelantan menghormati setiap keputusan yang ditetapkan.

“Kami yakin, semua yang dilakukan itu adalah diperoleh berdasarkan pertimbangan  daripada pelbagai sudut, baik mahupun keburukannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ditanya, sama ada tindakan mesyuarat tersebut untuk tidak membincangkan mengenai masalah itu kerana Pas masih memerlukan khidmat Ahli Parlimen Bachok itu untuk terus memperjuangkan pasti pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, beliau menjelaskan keputusan itu ditentukan pucuk pimpinan.

“Saya sendiri tidak mengetahui apa yang dibincangkan, oleh itu setakat ini saya menerima ketetapan tersebut dan melihat ianya dilakukan berdasarkan pertimbangan tertentu dan bukannya pendirian kosong sahaja,” katanya.

Pelbagai pihak membayangkan kemungkinan dihadapi oleh Nasharudin pada 9 September (kelmarin) menerusi mesyuarat Majlis Syura ekoran kenyataan keras beliau yang dilihat bercanggah dengan pendirian parti dan ditentang pimpinan Pas.

Bagaimanapun, mesyuarat yang dipengerusikan  Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din malam kelmarin tidak membincangkan kedudukan Nasharuddin dan sekali gus beliau masih kekal sebagai ahli Majlis Syura Pas

Tiada ulasan: