Selasa, 4 September 2012

PAS Kedah tidak tukar Menteri Besar

 
Kami tidak pernah membincangkan perkara tersebut (menggantikan Azizan), kata Datuk Mohd Roshidi Osman, ADUN PAS Bukit Pinang.


ALOR SETAR: Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga penggal berakhir pada Mac tahun depan, kata seorang pemimpin PAS negeri hari ini.

“Kami tidak ada rancangan untuk menukar Menteri Besar sekarang,  PAS negeri mematuhi pucuk pimpinan atasan (Pusat).

“Kami tidak pernah membincangkan perkara tersebut (menggantikan Azizan),” kata Datuk Mohd Roshidi Osman, ADUN PAS Bukit Pinang yang juga AJK PAS negeri.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, jika betul-betul tidak sihat sehingga sukar hendak membuat keputusan lebih baik melepaskan jawatan dan beri peluang orang lain.

Tetapi katanya, kalau masih boleh melakukan kerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Kedah, Azizan boleh meneruskan tugasnya sehingga habis tempoh Mac tahun depan.

Mereka mengulas keadaan kesihatan Azizan yang dilaporkan semakin teruk sejak kebelakangan ini termasuk dikatakan tidak hadir di majlis sambutan Aidifitri di kediamannya baru-baru ini.

“Saya ada bertemu beliau pada hari raya pertama iaitu di Masjid Zahir (Alor Setar) dan kemudian ke Istana untuk berhari raya dengan Pemangku Sultan Kedah.

“Selepas itu, saya tidak mendengar apa-apa khabar lagi tentang Azizan,” katanya lag yang juga ketua pembangkang DUN negeri.

Azizan menggantikan Mahadzir sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pakatan Rakyat menawan negeri itu dalam pilihan raya umum 2008.

Tiada ulasan: