Khamis, 27 September 2012

Najib mungkir janji turunkan Taib Mahmud

Oleh BOESTAMAM SARI  

 
DI Sarawak, ada sambutan Hari Malaysia. Tetapi di sana juga PM Najib Razak pernah berjanji kepada rakyat negeri itu bahawa kedudukan Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri itu akan diganti dengan tokoh lain.

Ringkasnya lama sebelum ini pun rakyat memang sedar bahawa Najib akan menggantikan Taib Mahmud dengan pemimpin lain.

Bagaimanapun, mutakhir ini isyarat pengunduran Taib Mahmud itu sudah pudar dan tidak akan kedengaran lagi.

Dalam pada itu, sekian banyak pula laporan dalam Sarawak Report yang kita baca mengenai jumlah harta kekayaan Taib Mahmud ini.

Antaranya, skandal melibatkan perusahaan perkayuan Sarawak melibatkan Asia Plywood. Keluarga Hii di Miri dinamakan sebagai kumpulan yang terlibat.

Menurut Sarawak Report, keluarga Hii sudah menerima konsesi daripada rakan kongsinya, Taib Mahmud, untuk menebang hutan sekitar Bintulu- Miri untuk buka ladang kelapa sawit.

Taib, dedah laporan itu, bertanggungjawab mengeluarkan konsesi menebang hutan sejak 30 tahun lalu.
Oleh itu, kayu Sarawak tidak mendapat pensijilan Forest  Stewardship Council kerana penebangannya yang tidak terkawal dan tidak menjalankan dasar penghutanan.

Sementara itu, syarikat ladang terbesar Sarawak, selalu menerima konsesi menebang kayu. Syarikat itu dikendalikan keluarga Hii bersama syarikat milik keluarga Taib Mahmud.

Banyak syarikat mewujudkan hubungan dengan keluarga Taib. Inilah cara Taib himpunkan kekayaannya dan untuk keluarganya melalui kegiatan gelap bersama keluarga Hii.

Antara yang boleh dikesan adalah hubungan keluarga Taib dan keluarga Hii dalam Bormill Wood (Terengganu) Sdn Bhd di bawah sentuhan Jamilah Taib.

Dan ada peranan keluarga Hii dalam Sarawak Company Sdn Bhd yang dikendalikan saudara Taib, iaitu Tufail Mahmud.

Sementara adik Taib, iaitu Raziah Mahmud dan keluarga Hii didakwa mempunyai kaitan di dalam pembinaan jalan pintas Lapangan Terbang di Miri.

Sarawak Report melaporkan Taib menyerahkan kawasan tanah luas berhampiran kota Miri kepada adik perempuannya menerusi syarikat Kumpulan Parabena dan Miri Properties.

Dan selepas berjaya mendapat kontrak itu, Raziah didapati telah pun menyerahkan projek tersebut kepada sub-kontraktor Rich Venture yang juga dimiliki oleh keluarga Hii.

Semua ini, adalah senarai pendek mengenai penyelewengan yang dikepalai Taib Mahmud sepanjang pentadbirannya. Dan Najib cuma tutup mata sambil menggema kata Janji Ditepati walau dia pernah berjanji akan menurunkan Taib Mahmud sebelum ini.

Salah satu punca, kenapa Najib sulit membuang ketua menteri Sarawak ini mungkin disebabkan oleh ketakutannya kepada Rosmah Mansor yang akrab dengan Taib Mahmud.

Keakraban itu tercetus dalam apa didakwa majlis fesyen Islam. Dikatakan bahawa Taib telah menyuntik dana untuk tabung 'Alam Sekitar' tajaan Putera Albert dari Monaco di majlis fesyen itu.

Untuk majlis itu, Putera Albert terima cek bernilai 100,000 Euro yang diserah oleh Rosmah. Tapi hakikatnya duit sejumlah itu datang dari keluarga Hii yang diberikan menerusi Taib Mahmud juga.

Barangkali inilah sebab kenapa Najib mungkir janji untuk turunkan Taib Mahmud di Sarawak walaupun beliau ke sana menghadiri acara Hari Malaysia dengan slogan Janji Ditepati. Jawapannya, Najib Razak mungkin takutkan isteri lantaran keakraban Taib dan Rosmah itu. Ini menyebabkan 'Janji Ditepati', tidak ditepati di Sarawak!

Tiada ulasan: