Khamis, 20 September 2012

Najib jadikan slogan BN untuk serang pembangkang

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR- Slogan BN ‘Janji Ditepati’ merupakan platform Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyerang pembangkang dalam jelajahnya ke seluruh negara dan memanipulasi rakyat bagi menyelamatkan BN.

Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, slogan itu hanya layak dikritik, bukannya ditakuti.

“Slogan tersebut direka untuk memanipulasi rakyat dan bagi menutup penyelewengan Umno selama 50 tahun memerintah, jadi tidak timbul istilah gerun terhadap slogan itu,” kata Aishah.

“Malah, terbukti slogan itu menjadi kritikan setiap golongan tak kira muda dan tua, soalnya janji apa yang ditepati? Janji mana?” soal Aishah ketika dihubungi.

Najib pada sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Ahad lalu mengatakan kononnya Pakatan Rakyat gerun dengan slogan ciptaan BN itu.

“Najib yang sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri, mengesahkan bahawa slogan itu hanya retorik politik semata-mata.

“Berbeza dengan Pakatan, apa yang kami laungkan bukan hanya untuk pilihan raya saja, tapi sememangnya menitik beratkan soal kebajikan rakyat,” jelasnya.

Najib dalam ucapannya turut berkata, Pakatan selalu meniru semua dasar yang dirancang kerajaan.
“Sudah berapa banyak isu yang kita bangkitkan, akhirnya digunapakai dan diubah oleh kerajaan? Ini terbukti apabila pemimpin kerajaan jarang bercakap soal dasar dan hanya perkara remeh temeh, akhirnya mereka akan meniru dasar kita dan ubah kepada ayat lebih baik saja,” jelas Aishah lagi.

“Kepada Perdana Menteri, kalau betul anda rasa dasar kerajaan adalah yang terbaik, apa kata buat saja pilihan raya!,” cabarnya.

“Kenapa terus takut? Kemudian tabur janji di Kelantan sebelum ini, mungkin Najib sedar ini adalah kali terakhir Umno memerintah di Malaysia,” katanya.

Najib baru-baru ini berjanji kononnya akan membuat perubahan dari segenap aspek di Kelantan untuk kepentingan rakyat negeri itu.

Tiada ulasan: