Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2.

NONE"Jemputan tersebut akan dinyatakan dalam surat balasan saya kepada Tan Sri Muhyiddin yang akan dihantar kepada beliau dalam masa terdekat ini," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri).

"Kerajaan negeri percaya perbincangan ini akan membawa keputusan positif kepada industri air, negeri serta kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Saya kira Timbalan Perdana Menteri perlu tahu terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan negeri boleh membuat tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi yang sekarang ini diberi tempoh lanjutan untuk beroperasi dari bulan ke bulan oleh  Suruhanjaya Perkhidmatan air Negara (SPAN)," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau juga akan memberitahu Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor  masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat-syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta Perkhidmatan Industri air atau Akta 655.

Menurutnya, beliau juga akan menyatakan pandangan bahawa timbalan perdana menteri tidak diberikan penjelasan yang sebenarnya mengenai kuasa dan peranan Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan di bawah Akta 655.

"Akta ini menyatakan kuasa eksekutif mengenai segala perkara yang berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia terletak di bawah Kerajaan Persekutuan. 

"Manakala Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta 655 pula memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik atau penyatuan atau percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen melainkan dengan kelulusan Menteri, di dalam hal ini, Menteri yang berkenaan adalah menteri tenaga, teknologi Hijau dan Air.

"Saya akan menjelaskan bahawa keengganan kementerian tenaga, teknologi hijau dan air untuk menerajui perundingan, jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan dengan sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah seksyen 191 (4) Akta 655," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri besar berkata, beliau juga akan menyatakan SPAN menyalahguna kuasa budibicara apabila memberi kuasa kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan "yang bererti memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor".

"Oleh kerana kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri.

"Sekiranya syarikat konsesi tidak setuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan kerajaan negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan," tegas Abdul Khalid.

Dalam perkembangan berkaitan, menteri besar berkata, kerajaan negeri kecewa dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan persepsi tidak benar seolah-olah berlaku krisis bekalan air dan mahu rakyat menyalahkan kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, dari awal lagi, media arus perdana telah dipergunakan untuk mengelirukan rakyat berhubung isu air sedangkan kerajaan negeri konsisten dengan pendirian untuk melaksanakan penyusunan  semula  mengikut semangat WSIA yang menawarkan  penyelesaian secara holistik kepada industri perkhidmatan air.