Ahad, 9 September 2012

Mat Sabu gesa BN henti salahkan PR

Wartawan Sinar Harian

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
SEREMBAN – Semua pihak, khususnya Barisan Nasional (BN), diminta hentikan tuduhan mengaitkan insiden menayang punggung dan memijak gambar Perdana Menteri serta isteri dengan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, insiden terbabit tiada kaitan dengan parti atau politik, tetapi merupakan isu moral perbuatan individu membabitkan golongan muda.

“Hentikanlah tuduhan terhadap PR. Malah, pelakunya juga sudah membuat pengakuan bahawa ia dilakukan atas kehendak sendiri dan tidak dipengaruhi atau dibayar mana-mana pihak.

“Saya ingatkan BN agar tidak mengalihkan isu tersebut dengan menyalahkan pembangkang kerana kita pun tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Pas Negeri Sembilan di Dataran Senawang, dekat sini, semalam.

Mohamad Sabu berkata, beliau yakin tindakan beberapa pihak yang mewujudkan isu berkenaan adalah akibat terlalu mengikut emosi dan semangat di luar kawalan.

Bagaimanapun, katanya, dia kecewa kerana tindakan undang-undang tidak diambil terhadap mereka yang memijak gambar pemimpin PR sebelum ini.

“Kenapa sebelum ini perkara sama terjadi kepada gambar pemimpin PR polis tidak bertindak, tapi apabila membabitkan pemimpin BN, baru mereka bising?" katanya.

Tiada ulasan: