Selasa, 11 September 2012

Masalah air di Mentakab, mana rakyat didahulukan

Khairil Abdul Rahim,
 
TEMERLOH: Laungan “mana rakyat didahulukan”, “mana janji ditepati” bergema dalam perhimpunan aman melibatkan beberapa orang penduduk di bandar Mentakab di sini hari ini berikutan telah lima hari terputus bekalan air paip.
Penduduk mendakwa, gangguan beklaan air tanpa notis itu disebabkan kerja mengorek tanah di pinggir jalan utama oleh kontraktor yang menyebabkan saluran paip pecah tetapi dibiarkan sejak Khamis lalu.

(Gambar: Penduduk berkumpul sambil membawa bekas air di hadapan projek menggali kabel yang didakwa menyebabkan bekalan air paip terputus selama lima hari.)

Akibatnya lebih 10,000 penduduk bandar ini terutama melibatkan taman-taman perumahan terpaksa menghadapi kesukaran menjalani hidup tanpa air.

Antara kawasan yang terbabit ialah Taman Zabidin, Taman Mentakab, Taman Orked, Taman Taha, Taman Damai, Taman KSM, Taman Pasir Rawa, Taman Setia, Taman Sagumpas, sekitar bandar Mentakab dan Jalan Temerloh.

Penduduk dari Taman Zabidin N. Sakuntala, 57, kesal pihak berkuasa terlalu lambat menyelesaikan masalah bekalan air paip sedangkan ia keperluan nombor satu untuk makan minum, membersihkan pakaian dan diri.

“Saya terpaksa pergi ke rumah kakak di Taman Saga (5 kilometer dari rumah) untuk memunggah air siang malam dan ini sangat memenatkan dan membuang masa.

“Air ini keperluan utama untuk hidup sekeluarga jadi bila terputus jadi satu gangguan, ada keluarga yang anak-anak tak boleh sekolah kerana baju tak basuh kerana kami terpaksa menghentikan semua kerja lain kerana kena mencari air untuk dipunggah ke rumah,” katanya.

Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang telah diswastakan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada Februari tahun ini. Namun ramai yang merungut meskipun telah bertukar pengurusan taraf perkhidmatannya tetap tidak berubah kerana air sering terputus, saluran paip bawah tanah selalu pecah atau bocor dan pembaikan terlalu lembab.

Siew Yui Seng (kanan) dari Taman Taha yang turut berhimpun berkata, beliau diberitahu masalah disebabkan kerja-kerja menanam kabel baru tetapi kesilapan mengorek tanah berlaku sehingga terkena batang paip lalu pecah.

Beliau telah menemui kontraktor meminta penjelasan, tetapi kontraktor memberi alasan barang gantian kerosakan masih tidak ada.

“Yang hairannya kenapa Paip tak bantu selesaikan sebab air bagi kami betul-betul penting. Kami juga kesal sikap Paip kerana setiap kali dihubungi mereka tak layan atau berdolak-dalik. Sedangkan ini bukan kali pertama berlaku, dah kerap sangat,” ujarnya.

Pengusaha Restoran Kari Kepala Ikan Raub yang turut terjejas, Mahendran, 53, (kiri) berkata gangguan air ini tidak ada notis jadi beliau menghadapi kesulitan sehingga terpaksa menyewa lori dan tong besar bagi membeli air paip di tempat cuci kereta.

“Bagi saya yang berniaga kedai makan ini memang susah sangatlah sebab nyawa kedai dan perniagaan saya betul-betul pada air paip. Sejak beberapa hari ini memang pendapatan perniagaan saya terjejas kerana ada masanya terpaksa tutup.

“Yang peliknya dulu-dulu masa belum swasta tidaklah teruk sangat macam sekarang, sekarang ini selalu sangat kerosakan dan terputus bekalan air berlaku,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk Ramasamy Letchmanan pula kesal dengan wakil rakyat kawasan berkenaan yang tidak mahu turun melihat masalah penduduk walaupun beberapa kali diberitahu.

“Masa mengundi pilihan raya bukan main lagi wakil rakyat cari kami seorang seorang untuk dapat undi. Sekarang apabila tiba masalah seperti ini menimpa penduduk, wakil rakyat langsung tak turun tengok jangankan nak selesai masalah.

“Kalau macam ini bagaimana slogan kerajaan boleh janji ditepati dan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?,” soalnya.

Tambahnya, turut terlibat ialah sekolah rendah Tamil Mentakab juga tiada air, sedangkan besok (Selasa) pelajar akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagaimana kalau ada yang sakit perut sedangkan air tandas kering?,” soalnya.

Antara yang paling teruk menerima kesan ialah rumah pangsa empat tingkat Taman Taha di Mentakab.

Ketua Blok B perumahan berkenaan Masri Samah, 40, (kanan) yang juga turut hadir berkata, ketiadaan air membawa masalah besar kepada yang mempunyai anak-anak kecil dan orang tua.

“Bayangkan anak-anak sekolah baju tak berbasuh dan pakaian bayi yang berlambak-lambak. Pulak tu kerap sangat berlaku masalah air di sini sehingga kadang-kadang makan masa seminggu.

“Bila bil air tak bayar surat merah sampai, cepat-cepat bekalan air dipotong dan bila nak sambung kena bayar RM120. Tapi sekarang apabila bekalan air paip terputus berlarutan lima hari tidak ada pegawai atau orang besar yang nak tengok kami.

“Bila kami telefon pejabat minta hantar lori tangki air mereka kata lori tak cukup,” keluhnya.

Menurutnya dalam tempoh terputus bekalan air kali ini ada beliau mendengar lori tangki menghantar air sekali tetapi pada waktu tengah malam dan kebanyakan penduduk sedang tidur.

Tiada ulasan: