Selasa, 25 September 2012

Lima kereta mewah dibawa lari 10 penjenayah di Kajang

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Sepuluh penjenayah bersenjatakan parang, kapak dan pisau melarikan lima kereta mewah dianggarkan bernilai RM500,000 dari sebuah pusat pameran jualan kereta di Bandar Sungai Long di Kajang dekat sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob berkata kereta itu adalah tiga jenis Honda Accord, sebuah Honda Civic dan sebuah Honda CRV.

"Mereka telah mengikat dua pengawal keselamatan dan dua orang daripada mereka menyamar menjadi pengawal keselamatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mereka dipercayai memecah masuk tingkat bawah premis dua tingkat itu kira-kira pukul 3 pagi sebelum mengambil kunci kereta di dalam pejabat.

Polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang berjaya melepaskan diri kira-kira pukul 7 pagi, katanya.

Azman berkata polis sedang meneliti kejadian itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu.  - Bernama

Tiada ulasan: