Isnin, 10 September 2012

Lebuhraya terpaksa dibina kerana sudah kritikal

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kelantan terpaksa membina lebuhraya rakyat di Kelantan selepas kerajaan persekutuan gagal melaksanakannya walaupun dijanjikan sejak Rancangan Malaysia ke 5.

"Walaupun ia di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, tetapi oleh kerana keperluan mendesak terutama di musim cuti dan perayaan, kita terpaksa berusaha untuk membinanya," kata Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyudin Hassan (gambar).

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Hari Terbuka PAS ditemui di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam.

Menurut Takiyudin, yang merupakan seorang peguam, lebuh raya terletak di bawah senarai bidang kuasa kerajaan persekutuan iaitu di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Namun, oleh kerana ia tidak pernah dilaksanakan walaupun dijanjikan sejak sekian lama, kerajaan negeri Kelantan terpaksa memikul tanggungjawab ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri pernah membawa perkara ini sehingga ke mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, namun ia tetap tidak berhasil.

Ketika ditanya Harakahdaily tentang cadangan BN Kelantan yang mahu memasukkan pembinaan lebuhraya ini dalam manifesto pilihanrayanya, Takiyudin menolaknya.

"Pembinaan lebuh raya, nak buat stadium dan selesaikan masalah air sudah menjadi manisfesto BN sejak sekian lama..ia cerita basi.

"Saya yakin rakyat Kelantan tidak akan termakan dengan janji palsu ini walaupun mereka kata janji ditepati," kata Takiyudin.

Bagi beliau, BN tidak melayan rakyat Kelantan dengan ikhlas.

"Mereka sepatutnya melayan rakyat Kelantan sebagaimana rakyat negeri lain bukan menganaktirikan mereka," katanya.

Kerajaan negeri, kata beliau, akan cuba melaksanakan pembinaan lebuh raya ini semampu mungkin.

"Buat permulaan ini kita akan lebarkan jalan yang ada, betulkan jalan yang bengkang bengkok dan seumpama.

"Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu sebut, kalau kita tidak dapat buat semua jangan tinggal semua," kata beliau.

Tiada ulasan: