Khamis, 6 September 2012

Lain Yang Polis Tanya, Tak Tanya Pun Tentang Puisi - Pak Samad

 
KELAB GREENBOC

Pak Samad: Polis langsung tak tanya soal puisi

KUALA LUMPUR: Pihak polis langsung tidak menyoal Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berhubung puisi "Janji Demokrasi" yang dibacanya ketika perhimpunan di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Sebaliknya soalan yang ditanya berkisar tentang perhimpunan Janji Demokrasi anjuran Gabungan Janji.

Justeru beliau memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan yang ditanya kecuali mengenai maklumat dirinya sahaja.

"Saya memilih untuk tidak menjawab semua soalan itu kecuali infomasi diri saya sahaja.

"Seingat saya, tiada langsung soalan mengenai puisi yang ditanya," kata beliau selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.

Beliau disiasat di bawah seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pak Samad juga berkata, beliau bukan penganjur perhimpunan sebaliknya hanya diundang membaca puisi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah yang turut dipanggil memberi keterangan mempersoal tindakan polis yang menyoal siasat orang yang hadir menyambut merdeka.

"Kami hanya menyambut merdeka, jadi polis nak dakwa atas kesalahan apa? soalnya.

Peguam, Latheefa Koya berkata, polis hanya membuang masa memanggil mereka sedangkan soalan yang ditanya sudah diketahui jawapannya.

"Tanya pasal sidang media yang Maria adakan, sedangkan berita ada, video ada, semua ada bukti. Kenapa panggil soal siasat lagi? katanya.

Turut hadir peguam Datuk S Ambiga dan ahli jawatankuasa Bersih, Hishammudin Rais.

Polis memberi notis kepada Pak Samad yang juga Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dan Maria jam 4 petang semalam meminta mereka hadir ke balai polis.

Siasatan hari ini merupakan tindakan ketiga ke atas Pak Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeri.Siasatan kedua pula berhubung puisi berjudul "Unggun Bersih" yang dibacanya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada Jun 2011.

Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad sebelum ini berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan Janji Demokrasi itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. -HD

Maria Chin: Soalan polis 'tidak relevan'

Penganjur perhimpunan Janji Demokrasi, Maria Chin Abdullah berkata, soalan-soalan yang ditanyakan pihak polis kepada beliau dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said 'tidak relevan'.

Maria yang dipanggil bersama A Samad atau Pak Samad untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi berkata, soalan yang ditanyakan kepada beliau adalah mengenai sidang media yang dilakukan gabungan itu pada 24 Ogos lalu.

"Mereka hanya bertanyakan soalan mengenai sidang media yang diadakan di KLSCH (Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall).

"Tetapi kita ambil pendekatan untuk tidak menjawab semua soalan," kata Maria dalam sidang media selepas tamat memberikan keterangan.
-mk



Tiada ulasan: