Selasa, 4 September 2012

K'jaan perkenal pakej jalur lebar mampu milik

Ahmad Fadli KC


 
Menteri penerangan Datuk Seri Rais Yatim hari ini melancarkan Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia yang disasarkan untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati capaian internet jalur lebar pada harga berpatutan.

Pakej itu yang bermula pada harga serendah RM20 sebulan untuk perkhidmatan tanpa wayar dan RM38 sebulan untuk perkhidmatan berwayar.

"Pakej ini disasarkan untuk komuniti luar bandar tetapi khusus kepada negeri dengan kadar penembusan jalur lebar lebih rendah berbanding kadar penembusan kebangsaan," kata Rais Yatim.

Pelanggan pakej berharga RM20 ke RM25 sebulan akan menikmati akses jalur lebar berkelajuan minima 512kbps dengan kapasiti sehingga 1Gb.

Bagi perkhidmatan berwayar pula, pelanggan pakej berharga RM38 akan mendapat akses berkelajuan minima 384kbps dengan kapasiti tanpa had.

Bercakap kepada pemberita, Rais memberi jaminan tiada penapisan akan dibuat terhadap akses internet menerusi inisiatif itu yang akan berada di pasaran paling awal selepas sambutan Hari Malaysia.

Tambahnya lagi, pakej mampu milik itu diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama pembekal perkhidmatan untuk membolehkan rakyat Malaysia lebih berhubung antara satu sama lain.

"Ini adalah pengisian 1Malaysia di mana rakyat kita akan lebih berkomunikasi," katanya di bangunan kementerian itu di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: