Jumaat, 7 September 2012

Kertas siasatan insiden Janji Bersih ke Pejabat AG hari ini

Wartawan Sinar Harian

 Insiden 30 Ogos
 
Insiden meletakkan gambar pemimpin negara dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya di kawasan Dataran Merdeka Khamis lalu. – Foto ihsan Gossip Rakyat
 
KUALA LUMPUR - Polis dijangka menghantar laporan siasatan penuh berhubung tindakan peserta Himpunan Janji Demokrasi di ibu negara 30 Ogos lalu kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Aziz

Zakaria berkata, laporan itu merangkumi tindakan peserta perhimpunan yang membawa bendera 'Sang Saka Malaya', memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara.

"Laporan penuh itu dihantar untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita di sini.

Dipetik Bernama, beliau juga berkata, tiga lagi penganjur bersama perhimpunan itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan selepas dua penganjur utama memberi keterangan hari ini.

Katanya, mereka ialah Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Hishamuddin Md Rais.

"Polis telah menghantar notis kepada mereka mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah, dan mereka juga telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan kerana didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, namun tarikh sebenar belum diputuskan," katanya.

Semalam, polis merakam percakapan Maria Chin Abdullah dan Sasterawan Negara A. Samad Said di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Mengulas permohonan maaf secara terbuka oleh seorang penuntut kolej swasta di Cheras kelmarin, yang ditahan kerana menunjuk punggung di khalayak ramai dalam insiden itu, Aziz berkata, polis tetap akan mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Tindakan mereka yang terlibat adalah perbuatan yang biadap, dan ia menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat menyebabkan lebih 250 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung perilaku mereka," katanya.

Tiada ulasan: