Rabu, 26 September 2012

Jumpa Adun Jika Air Kediaman Dicaj Ikut Perniagaan




SHAH ALAM : Penghuni kediaman di Selangor yang dikenakan caj perniagaan bagi tarif air dinasihatkan supaya bertemu Adun atau majlis perbandaran di kawasan kediaman masing-masing.

Tindakan ini perlu bagi mengelakkan penduduk membayar kadar tarif air perniagaan yang empat kali ganda lebih tinggi berbanding tarif air kediaman.

Demikian menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad ketika ditemui TV Selangor baru-baru ini.

“Kalau dapat disahkan kadar akan turun contohnya kalau tarif perniagaan 20 meter padu pertama lebih kurang RM2.07 kepada 56 sen sahaja bagi tarif kediaman.

“Saya akan jumpa dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) supaya kita boleh buat sekali. Selepas disahkan boleh dikemukakan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk diturunkan kepada kadar yang sepatutnya.

Menurut Iskandar, kebanyakan kes demikian melibatkan premis perniagaan yang dijadikan sebagai kediaman.

Sebelum itu, Iskandar memberitahu beliau menerima aduan dari penduduk di kawasan Pandan Jaya bahawa Syabas mengecaj tarif air kediaman sebagai tarif perniagaan.

Menurutnya lagi, ia berlaku disebabkan premis perniagaan di kawasan tersebut bercampur-campur dengan premis perniagaan yang dijadikan kediaman.

Anggaran beliau ketika ini lebih 600 premis perniagaan yang dijadikan kediaman.

Bertindak dari aduan tersebut, Iskandar mengadakan satu mesyuarat bersama Syabas bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Saya tekankan kepada Syabas walaupun premis di kawasan tersebut bercampur-campur ada perniagaan ada kediaman, tetapi mereka jadikan kediaman.

“Syabas ada jalan penyelesaian meminta supaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan bahawa premis tersebut adalah premis kediaman bukannya perniagaan,” kata Iskandar.

Iskandar turut mengesa agar Syabas memulangkan lebihan bayaran tarif air perniagaan yang dikenakan terhadap premis kediaman penduduk di situ.

Tiada ulasan: