Selasa, 4 September 2012

Jual maklumat pertahanan negara lebih bahaya

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR- Perbuatan menjual maklumat pertahanan negara dan bersekongkol dengan Zionis Israel lebih berbahaya daripada mengibar bendera perjuangan menuntut kemerdekaan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Kita tidak bersetuju dengan tindakan memijak gambar mana-mana pihak dalam negara ini atau menunjukkan punggung kepada gambar sesiapa pun.

"Kita juga tidak bersetuju tindakan mengibarkan bendera yang menyebabkan para pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) menjadi keliru, kepanasan dan kebingungan dalam kejahilan.

"Tetapi, kita lebih tidak bersetuju dengan tindakan polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu mereka yang terlibat seolah-olah mereka melakukan jenayah terhadap negara," katanya.

Malah, kata beliau lagi, perbuatan itu tidaklah sebiadab perbuatan jahat segerombolan pengganas berhati syaitan yang menyerang dan membaling kasut ke dalam masjid di Alor Setar beberapa hari lalu.

"Bolehkah pijak gambar dikategorikan sebagai jenayah sehingga ditubuhkan pasukan khas untuk memburu mereka?

"Pijak gambar tidak menyerang dan cuba mencederakan sesiapa seperti yang dilakukan oleh pengganas yang menyerang dan membaling kasut ke dalam masjid dengan niat untuk mencedera dan menyakitkan jemaah di dalam masjid.

"Pijak gambar adalah luahan kemarahan anak-anak muda yang dipijak kepala mereka serta ditindas oleh pemimpin Umno BN," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau pijak gambar satu jenayah, mengapa polis tidak buru mereka yang memijak dan membuat aksi kencing ke atas gambar para pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Mahfuz seterusnya mempersoalkan mengapa polis tidak tubuh pasukan khas untuk memburu mereka yang melakukan jenayah lebih besar lagi seperti menjual maklumat pertahanan negara.

"Sikap membisu polis dalam isu sedemikian amat menghairankan," katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan, laporan sulit maklumat pertahanan negara berhubung transaksi kapal selam Scorpene telah dijual kepada syarikat DCNS Perancis.

Usul tergempar untuk membahaskan penjualan maklumat itu telah ditolak dan tindakan itu kemudiannya disusuli dengan lebih banyak pertikaian dan persoalan.

Urusniaga Scorpene juga, kata Mahfuz, menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikaitkan dalam isu rasuah sehingga menyebabkan perbahasan panjang lebar dalam Parlimen di mana Perdana Menteri tidak dilihat memberikan penjelasan yang meyakinkan.

Beliau berkata, bukan setakat itu sahaja pengkhianatan besar terhadap rakyat negara ini, khususnya umat Islam.

"Terlalu banyak untuk dipersoalkan termasuklah mengapa polis tidak menubuhkan pasukan khas apabila Dewan Rakyat diberitahu Najib membelanjakan berpuluh-puluh juta wang rakyat untuk mendapatkan petunjuk dari syarikat Zionis Israel, Apco Worldwide?

"Lebih buruk lagi, mengapakah polis tidak bersungguh-sungguh menyiasat pendedahan tentang penglibatan agen Israel dalam menaiktaraf sistem komunikasi polis seperti yang disahkan dalam siasatan cawangan khas polis sendiri?" Mahfuz terus mempersoalkan.

Malah, kata beliau lagi, apa tindakan polis apabila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan wujudnya rangkaian antara antara kongsi gelap dengan ahli politik tanah air dan pegawai-pegawai polis sendiri.

Musa menyifatkan perkara itu berada pada tahap yang serius.

"Ahli politik PR tak ada kuasa dan pengaruh untuk berpakat dengan kongsi gelap dan pegawai-pegawai tertentu di dalam pasukan polis. Siapa mereka dan mengapa polis tidak tubuh pasukan khas untuk memburu mereka?" Mahfuz mempersoalkan.-harakahdaily

Tiada ulasan: