Ahad, 9 September 2012

Jelajah ‘Janji Ditepati?’ Dedah kegagalan kerajaan BN – Kit Siang

Roketkini.com



KENINGAU, 7 SEPTEMBER: Kerajaan Barisan Nasional telah gagal menghormati perjanjian dengan rakyat Sabah yang telah diabaikan selama lebih empat puluh lapan tahun sejak bergabung dengan semenanjung untuk membentuk Malaysia.

Demikian menurut Lim Kit Siang semasa melawat kawasan Keningau dalan siri jelajah ‘Bicara Rakyat Sabah – Janji Ditepati?’ baru-baru ini yang turut disertai oleh Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Ahli Parlimen Tuaran yang baru-baru ini telah meninggalkan BN dan menyatakan sokongannya kepada Pakatan Rakyat.

Menurut beliau lagi, rakyat Sabah dari pelbagai kaum, bermula dari Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tenom dan Keningau telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan BN yang telah mengabaikan hak rakyat Sabah dan melanggar semangat sumpah yang tertera pada ‘ Batu Sumpah Peringatan Mengikut Perlembagaan’ yang terletak di Keningau.

Dalam isu yang berkaitan, Kit Siang turut memetik kenyataan Tan Sri Simon Sipaun yang melihat slogan ‘Janji Ditepati’ sebagai satu slogan kosong yang tidak bermakna. Dalam kenyataan tersebut, Tan Sri Simon Sipaun juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri Sabah tidak ada azam politik dan seterusnya gagal menyelesaikan masalah PATI (Pendatang Tanpa Izin) selama lebih dua puluh lima tahun.

Malah, menerusi kajian Dr. Chong Eng Leong, seorang pakar mengenai hal ehwal pendatang asing di Sabah yang juga pengarang buku “Lest We Forget (Security and Sovereignty of Sabah)”, terdapat PATI yang telah didaftarkan sebagai pemilih. Menurutnya lagi, kini  sudah terdapat sekitar satu hingga dua juta pendatang haram di Sabah. Sekitar sembilan ratus ribu yang telah dibanci dan jumlah PATI ini berkemungkinan besar sudah melebihi dari jumlah rakyat Sabah sendiri.

Dalam perkembangan yang berkaitan, kebanyakkan PATI ini diberi taraf kewarganegaraan dan berdaftar sebagai pengundi. Dan lebih ironik apabila terdapat rakyat jati Sabah dinafikan hak untuk mendapat Sijil Anak Negeri (SAN). Kes ini berlaku dibeberapa tempat di Sabah seperti di Ranau yang mana Puan Chong Siew yang lahir di Sabah pada tahun 1941, mempunyai sijil kelahiran yang sah tetapi gagal mendapat kad pengenalan setelah empat kali memohon.

Ini juga berlaku ke atas Puan Ramlah dari Ulu Kinabatangan yang mana empat dari tujuh anaknya juga gagal mendapat kad pengenalan. Begitu juga dengan Kenneth Tan yang berbangsa Sino Kadazan, telah gagal memindah milik tanah kepada anak-anaknya hanya kerana mereka lahir selepas tahun 1982 dan tidak layak mendapat Sijil Aak Negeri (SAN).

Dalam siri jelajah tersebut, Lim Kit Siang turut menyifatkan keputusan Datuk Seri Wilfred Bumburing, MP Tuaran sebagai petunjuk jelas bahawa BN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

“Kami mengalu-alukan keputusan beliau meninggalkan BN dan kita berharap bahawa beliau akan dapat memainkan peranan yang penting untuk membawa perubahan kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang agar semangat dan niat yang tertera di Batu Sumpah Keningau dapat ditunaikan”, ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: