Ahad, 9 September 2012

Janji Demokrasi: Polis siasat Tian Chua, Mat Sabu

Abdul Rahim Sabri


 
Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan naib presiden PKR Tian Chua hari ini hadir ke ibu pejabat polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan Janji Demokrasi yang diadakan ketika sambutan ambang kemerdekaan, 30 Ogos lalu.

Turut hadir memberi keterangan hari ini ialah aktivis sosial Hishamuddin Rais yang tiba bersama Mohamad Sabu pada kira-kira jam 4.15 petang.

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas disiasat selama kira-kira 50 minit petang ini berkata, beliau memilih untuk tidak menjawab soalan yang diajukan kepadanya oleh polis.

janji demokrasi dang wangi 090912 mat sabuMohamad yang ditemani seorang peguam, Nazar Khan berkata, beliau berbuat demikian berdasarkan peruntukan Seksyen 112 Akta Keterangan.

Polis antara lainnya meminta beliau menjelaskan penganjur yang terlibat dalam perhimpunan tersebut, jumlah peserta dan juga mengenalpasti pemimpin politik yang hadir, katanya.

Sementara itu, Tian Chua pula ketika bercakap kepada pemberita selepas disiasat kira-kira 30 minit berkata, beliau juga mengambil keputusan yang sama dengan Mat Sabu untuk tidak menjawab soalan polis.

Katanya beliau berbuat demikian kerana tidak mahu memberi kenyataan yang "menjejaskan orang lain" termasuk siapa pemimpin yang berucap ketika perhimpunan itu.

Tambahnya, beliau memberi keterangan kepada polis sebagai saksi dan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Pada pandangan saya, perhimpunan Janji Demokrasi tidak melanggar undang-undang kerana itu merupakan hak rakyat untuk berhimpun bagi mengingati sejarah perjuangan (pejuang) kita.

"Kita mengikut prinsip demokrasi yang telah termaktub dan yang telah diperjuangkan oleh perajurit dahulu," katanya.

Beliau yang hadir tanpa ditemani peguam hari ini berharap polis menyiasat perkara itu dengan adil mengikut undang-undang sedia ada.
janji demokrasi dang wangi 090912 hishammuddin raisHishamuddin pula, ketika ditemui lewat petang ini berkata, berkata beliau diajukan sebanyak 21 soalan oleh pihak polis.

Beliau juga mengambil keputusan untuk tidak menjawab hampir semua soalan yang ditujukan, termasuk berhubung sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor sebelum perhimpunan itu berlangsung.

"Hampir semua soalan saya tidak menjawab, kecuali butir-butir peribadi. Saya memilih untuk menjawab di mahkamah," katanya.

Katanya, beliau hanya menjawab antaranya mengenai tajuk puisi Janji Demokrasi yang dibacakan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said ketika perhimpunan tersebut.

Hishamudin yang ditemani peguamnya Faridah Mohammad dan beliau disiasat bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman sebagai saksi.

Sebelum ini, A Samad yang juga pengerusi bersama BERSIH dan seorang anggota jawatankuasanya, Maria Chin turut disiasat polis berhubung perhimpunan ketika sambutan ambang kemerdekaan itu.

NONESelain itu, lima orang lagi turut ditahan dan disiasat berhubung insiden yang berlaku pada malam tersebut.

Ia termasuk seorang pelajar yang turut dibuang daripada kolej ekoran perbuatannya melondehkan seluarnya dan menunjukkan punggung ke arah gambar Najib dan Rosmah ketika perhimpunan itu.

Selain itu polis turut menahan dua suspek yang didakwa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan tersebut, yang disiasat mengikut Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan.

Dua lagi anak muda, masing-masing seorang pelajar berusia 19 tahun dan seorang model sambilan yang sebaya turut ditahan selepas menyerahkan diri kepada polis.

Individu berkenaan menyerah diri selepas pasukan itu polis mengedarkan foto 11 individu yang dikendaki berhubung insiden pada perhimpunan sama.

Tiada ulasan: