Selasa, 18 September 2012

Isu filem: Umat Islam diminta solat hajat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini disaran menunaikan solat hajat, membaca Yasin dan berzikir pada Khamis ini di semua masjid dan surau bagi memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia berikutan penerbitan filem 'Innocence of Muslims'.
  
Sehubungan itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Gerakan Badan Bukan Kerajaan Islam Asean meminta Masjid Negara supaya dapat mengetuai bacaan Yasin, Zikir dan solat hajat disusuli khutbah khas mengenai isu serangan dan propanganda jahat pihak tidak bertangungjawab terhadap Islam.
  
"Sebagai umat Islam, kita seharusnya menunjukan kekuatan dan perpaduan kita dalam menghadapi isu ini bersama iaitu melalui doa yang disifatkan sebagai 'senjata mukmin'," kata IKIAM dalam kenyataan di sini, hari ini.
  
Filem itu yang disiar dalam laman Youtube pada 11 Sept lepas mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia menghina Islam khususnya Nabi Muhammad SAW.
  
Filem itu turut dikutuk Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai "sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu "satu penghinaan kepada agama Islam". - Bernama

Tiada ulasan: