Ahad, 9 September 2012

Hasmy Agam: Hak asasi manusia 'dari awal hingga akhir'

G MANIMARAN

Hasmy Agam
Hasmy Agam (tengah) bersama sebahagian pesuruhjaya Suhakam.
 
BERMULA dengan perbualan mesra di pejabatnya minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam berkongsi suasana dan pengalaman sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bercerita tentang pengalaman kali ini, beliau menceritakan tentang nasib segelintir warga emas yang diabaikan anak.

Bertolak daripada pengalaman itu, Hasmy dengan nada yang lebih serius berkata, "sudah tiba masanya kita juga perlu meneliti hak-hak asasi golongan berusia."

"Mereka juga ada hak yang harus dilindungi, seperti juga hak bagi golongan lain," kata beliau pada satu pertemuan menjelang Hari Suhakam, hari ini.
Tahun ini Suhakam berusia 13 tahun.

Walaupun ia diberi nama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, tetapi ia lebih dikenali dengan nama ringkas Suhakam.

Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Hasmy, yang menerajui Suhakam sejak awal 2010, menunjukkan bahawa selama ini ramai hanya memfokus hak asasi manusia ke atas kumpulan-kumpulan lain selain golongan sudah berusia atau warga emas.

Antara kumpulan ini ialah aktivis dan ahli-ahli politik, ataupun mereka berhadapan dengan situasi dianiaya atau dinafikan hak oleh mana-mana pihak berkuasa. Laporan-laporan media membuktikan kunjungan mereka ke pejabat Suhakam, yang dahulunya terletak di Jalan Raja Laut, berhampiran menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan kini tidak jauh dari lokasi lama iaitu di Maju Junction, kawasan pertemuan Jalan Tuanku Abdul

Rahman-Jalan Raja Laut-Jalan Sultan Ismail.

"Sebenarnya hak asasi manusia yang dikatakan oleh kita, yang diperjuangkan, sebenarnya merangkumi setiap tahap atau peringkat kehidupan manusia, dari ketika kita berada dalam kandungan (dalam badan seseorang ibu) sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.... sebenarnya ia juga selepas meninggal dunia," kata Hasmy sambil memperluaskan ruang lingkup hak asasi manusia dalam erti kata sebenar.

Justeru, Suhakam mempunyai peranan yang lebih luas dalam menjaga hak asasi rakyat negara ini.

Menceritakan keperluan menjaga hak asasi golongan berusia, Hasmy, seorang bekas diplomat yang berpengalaman luas berkata, beliau pernah mengutarakan idea agar diadakan satu inkuiri bagi merangka panduan yang sewajarnya berkenaan dengan hak asasi golongan warga emas.

"Saya pernah bangkitkan. Tetapi rakan-rakan pesuruhjaya dalam Suhakam ketika itu merasakan inkuiri mengenai Hak Tanah Adat Orang Asli perlu disegerakan.

"Jadi kita tangguhkan idea itu. (Kini) mungkin kita perlu lihat semula perkara ini," kata beliau sambil memberi alasan mengapa keadaan itu terdesak.

"Semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, saya merasakan kita ada keperluan untuk meneliti perkara ini. Dan, saya juga ada baca dalam akhbar mengenai cerita warga tua dipinggirkan (ketika sambutan Aidilfitri)," kata beliau yang hari ini berada di Bangkok untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan golongan yang meningkat usia.

Mengulas mengenai Hari Suhakam, Hasmy berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan Hari Suhakam sejak dua tahun lalu demi menyemai tentang signifikan kewujudan suruhanjaya ini sejak 13 tahun lalu.

Di peringkat awal penubuhan, Suhakam menganjurkan Hari Hak Asasi Manusia PBB. Kemudian Suhakam menganjurkan kedua-dua Hari Suhakam dan Hari Hak Asasi Manusia.

"Kita akan mengadakan Hari Suhakam sendiri," kata beliau sambil menambah, "kami akan mengambil kesempatan ini untuk mempromosi soal hak asasi manusia."

Jadi, apa keperluan mengadakan Hari Suhakam?

Beliau membalas: "Ramai yang tidak faham atau tidak tahu peranan Suhakam. Mereka tahu kewujudan Suhakam, tetapi tidak tahu peranan Suhakam."

Dalam nada terkilan, beliau berkata, ada pihak menganggap Suhakam hanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

"Malah ada yang menganggap ia sebagai ia satu lagi jabatan kerajaan," kata beliau.

Malah ramai pegawai-pegawai kanan kerajaan sendiri termasuk pihak yang terlibat dalam urusan penguatkuasaan undang-undang sendiri tidak faham tentang hak asasi manusia dan juga fungsi Suhakam sendiri.

Menghairankan! Nampaknya itulah nasib Suhakam.

"Kami bukan NGO, dan kami juga bukan agensi kerajaan. Suhakam sebuah suruhanjaya, yang ditubuhkan di bawah akta digubal oleh Parlimen," jelas beliau. Suruhanjaya bermakna ia ada kuasa untuk mempromosikan, melindungi dan mempertahankan hak asasi manusia mengikut ruang lingkup akta yang digubal.

Bagaimanapun Suhakam tiada peruntukan untuk mendakwa mana-mana pihak.

Kemungkinan ada yang beranggapan Suhakam sebuah agensi kerajaan. Sebab ia diterajui oleh bekas pegawai kanan kerajaan atau pemimpin politik dari parti pemerintah. Pengerusi pertama ialah bekas Timbalan

Perdana Menteri, Tun Musa Hitam. Kemudian digantikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan kini Hasmy. Selain itu, peruntukan kewangan bagi Suhakam disalurkan menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Apakah peruntukan kewangan seharusnya disalurkan terus kepada Suhakam?

"Saya bercadang, kami akan mencadangkan untuk membuat pindaan (ke atas akta) bagi membolehkan kewangan disalurkan menerusi badan khas kepada Suhakam. Ini dalam perbincangan, meletakkan sebahagian daripada badan Parlimen," ujar beliau.

Sekurang-kurangnya langkah itu boleh mengubah persepsi bahawa Suhakam tidak dipengaruhi atau berhadapan dengan campur tangan kerajaan.

"Sepanjang saya berada di sini, (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) tidak pernah campur tangan dan saya pasti tidak akan campur tangan... saya gembira dengan keadaan ini," kata beliau lagi.

Berdasarkan maklumat diperoleh dari laman web Suhakam, ia ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999. Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999 manakala mesyuarat sulung Suhakam diadakan pada 24 April 2000.

Usaha menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat nasional di Malaysia bermula dengan penyertaan aktif Malaysia dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) pada 1993–95 apabila Malaysia dilantik sebagai ahlinya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan apabila ketua perwakilannya, Musa dilantik sebagai Pengerusi Sesi Ke-52 UNCHR. Keanggotaan Malaysia dalam UNCHR dilanjutkan bagi penggal kedua iaitu dari 1996-1998, dan seterusnya ke penggal ketiga iaitu dari 2001-2003.

Pelbagai sebab telah mendorong Kerajaan Malaysia sehingga akhimya mempertimbangkan penubuhan sebuah institusi kebangsaan hak asasi manusia.

Selain penglibatan aktif Malaysia dalam UNCHR, turut mempengaruhi usaha mewujudkan Suhakam ialah perhatian antarabangsa terhadap isu hak asasi manusia natijah daripada kejayaan Persidangan Sedunia Mengenai

Hak Asasi Manusia pada 1993 di Vienna. Kerajaan-kerajaan yang menyertainya, termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga menyedari peri pentingnya diwujudkan badan hak asasi manusia di peringkat negara masing-masing.

Sebagai ketua perwakilan Malaysia ke UNCHR,  Musa telah mencadangkan buat pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1994 bahawa inilah masa terbaik bagi Malaysia menubuhkan badan hak asasi kebangsaannya sendiri yang bebas.

Maklumat laman itu menyenaraikan beberapa faktor yang mendorong cadangan tersebut iaitu semakin meluasnya tekanan antarabangsa terhadap hak asasi manusia dan kesedaran bahawa isu ini melewati sempadan dan kedaulatan sebuah negara; penglibatan aktif Malaysia dalam sistem PBB; suasana dan kepekaan politik di samping kemajuan yang dicapai masyarakatnya. Menjelang pertengahan tahun 1990-an, tujuh negara Asia, termasuk dua dari ASEAN - Indonesia dan Filipina sudah pun menubuhkan institusi hak asasi kebangsaan masing-masing manakala Thailand pula sedang membuat persiapan untuk mengambil langkah yang sama.

Pada 24 April 1999, lima tahun selepas idea itu diajukan, Tan Sri Syed Hamid Albar, ketika itu Menteri Luar, mengumumkan bahawa kerajaan akan membentang satu rang undang-undang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suhakam. Rang Undang-Undang ini berpandukan kepada Prinsip Paris 1992  yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga kepada pengalaman institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya dirantau Asia Pasifik.

Pada 3 April 2000, kerajaan mengumumkan pelantikan pengerusi pertama Suhakam iaitu Musa dan 12 ahli suruhanjaya yang akan berkhidmat selama dua tahun dan penggal perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan.

Pelantikan dibuat oleh Yang di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Meskipun Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20 orang ahli, keputusan dibuat bahawa Suhakam akan memulakan tugasnya dengan 13 ahli sehinggalah apabila lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli Suhakam dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian dalam

 masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga berdasarkan pengalaman, iltizam, kebebasan dan kewibawaan individu berkenaan.

Untuk membolehkan Suhakam menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan, beberapa kumpulan kerja yang khusus telah dibentuk, merangkumi pendidikan dan promosi, pembaharuan undang-undang serta perjanjian dan suratcara antarabangsa, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, dan aduan dan siasatan.

Di bawah undang-undang yang digubal, Suhakam mempunyai kuasa untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu, menasihati kerajaan atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan langkah-langkah sesuai untuk diambil, mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia, melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu, dan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu, dan mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuat kuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

Sehingga awal, Suhakam mempunyai 16 pesuruhjaya dan mulai April 2010, jumlahnya telah dikecilkan kepada tujuh.

Berdasarkan perkembangan semasa, pandangan umum yang diterima menunjukkan jumlah anggota pesuruhjaya itu tidak mencukupi dan perlu ditambah.

Mengenai persepsi bahawa Suhakam tidak bebas, Hasmay mengakui keadaan sedemikian berterusan.

Bagaimanapun kata beliau, "mengenai persepsi, kita nampak kurang bebas, tetapi sebenarnya kami bebas untuk mengendalikan peranan dan tanggungjawab kami."

"Teguran-teguran yang dibuat oleh ICC Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa, kerajaan telah mengatasi," kata beliau sambil menjelaskan, "kita buat dua pindaan dalam dua bulan."

Dengan pindaan itu, yang disaksikan pada akhir 2009, Suhakam dapat mengekalkan status "A" yang diterimanya sebelum ini daripada ICC, Institusi Pemupukan dan Perlindungan Hak Asasi Manusia berpejabat di Geneva.

Badan itu pernah mengancam menurunkan status Suhakam kerana tidak berpuas hati dengan Rang Undang-undang (Pindaan) Suhakam 2009.

Cuma pemilihan anggota nampak tidak telus.

Baru-baru ini, kata beliau, setiausaha Suhakam telah dipilih oleh suruhanjaya sendiri. "Ini kali pertama kami pilih setiausaha sendiri," katanya. Masa lalu setiausaha dipinjamkan daripada kalangan perkhidmatan awam.

"ICC kata seboleh-bolehnya setiausaha diambil oleh Suhakam sendiri, bukan kalangan pegawai kanan kerajaan," kata beliau.

Berkongsi pandangan mengenai saranan sesetengah pihak agar Suhakam diletakkan terus di bawah dan bertindak sebagai badan bebas secara menyeluruh, Hasmy berkata, di sesetengah negara suruhanjaya hak asasi bertindak sebagai badan bebas dan di sesetengah negara maju, badan ini diletakkan sebagai entiti kerajaan.

Pun begitu kata beliau, apa yang penting dan perlu diutamakan ialah pencapaian badan hak asasi.
"Kita kena melihat prestasi dan pencapaian. Dari segi struktur kemungkinan bebas, bagaimana dengan prestasi... ini kita kena lihat. Dari segi pencapaian, kami gembira," tegas beliau.

"Soal ini sebenarnya satu proses yang berterusan. Tiada yang sempurna... tempoh 13 tahun, nampak terlalu lama," kata beliau.

"Kami berada di sini untuk membantu kerajaan," kata beliau merujuk kepada usaha memastikan pihak pemerintah terus mengambil pendekatan bagi memperbaiki soal hak asasi manusia rakyat negara ini.

Katanya, kerajaan telah mememuhi hak asasi asas sepanjang lebih lima dekad lalu.
Bagaimanapun menurut soal hak asasi tidak terhenti setakat itu semata-mata.

Rakyat meletakkan harapan lebih besar, merangkumi ruang lingkup lebih luas - kebebasan, perundangan dan sebagainya.

Saya percaya Suhakam ditubuhkan bertujuan membantu kerajaan mempertingkatkan hak asasi manusia di negara ini. Malaysia sebuah negara yang disanjung tinggi banyak negara lain dalam konteks pembangunan ekonomi dan sebagainya. Bagaimanapun, dalam bidang hak asasi manusia, kita ketinggalan.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Hasmy pernah berkata, kalau "kita tengok konvensyen atau instrumen hak asasi antarabangsa, semuanya ada sembilan perkara tetapi pencapaian kita, yang kita guna pakai setakat ini hanya tiga, iaitu yang berkaitan dengan hak wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU)."

"Kalau kita tengok rekod negara lain, kita berada pada kedudukan bawah... ini adalah kerana sebelum Malaysia meratifikasi beberapa konvensyen hak asasi tersebut, kerajaan terpaksa mengkajinya dengan teliti sebab ada prinsip yang menyentuh aspek-aspek keagamaan."

Sebagai sebuah negara ke arah merealisasikan negara maju pada 2020, ini adalah satu perkara yang perlu diperbaiki, harap beliau.

Cabaran Suhakam tidak terhad di peringkat ini semata-mata. Begitu juga harapan suruhanjaya ini sendiri. Rakyat sebagai pelanggan utama juga ada harapan. Begitu juga pelanggan mereka yang satu lagi pihak berkuasa.

Hasmy merumuskan "kami kena mencari keseimbangan" dalam mempromosikan dan mempertahankan hak asasi setiap individu.

Tiada ulasan: