Selasa, 4 September 2012

GAPS gesa siasat penganjur Janji Bersih

 
Tindakan beberapa individu yang mempamerkan bendera baru dan memijak gambar PM adalah kurang ajar dan tidak patriotik.



SHAH ALAM: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein segera menyiasat penganjur serta mereka yang terlibat semasa perhimpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka.

Gesaan itu disuarakan Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin yang mahu menteri berkenaan mengambil tindakan selanjutnya ke atas individu mahupun penganjur perhimpunan Janji Bersih tersebut.

Beliau serta rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain membuat laporan polis agar tindakan undang-undang diambil segera ke atas penganjur dan mereka terlibat di bawah akta hasutan dan kanun keseksaan lain.

Merujuk kepada perhimpunan di ambang hari merdeka itu, Hamidzun berkata tindakan beberapa individu yang mempamerkan bendera baru untuk menggantikan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) serta memijak gambar Perdana Menteri adalah kurang ajar dan tidak patriotik.

Ini termasuklah dengan tindakan seorang individu yang menunjukkan punggung ke atas gambar Datuk Seri Najib Razak.

“Perbuatan ini menimbulkan api kemarahan rakyat dan boleh mengancam keamanan dan menggugat kestabilan negara.

“Ini boleh mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Seksyen 6, di sini hari ini.

Sebanyak 10 laporan polis bersama dibuat yang turut diwakili NGO seperti Pertubuhan Waris Malaya, For Justice dan Majlis Belia Daerah Petaling dan Klang.

Ujar Hamidzun lagi, bermula esok laporan polis akan diteruskan di seluruh Lembah Klang antaranya di Meru,Klang dan Ampang Jaya.

Sementara itu bekas pengasas Parti Keadilan Nasional, Ng Lum Yong, 50, pula menyatakan kesedihan di atas tindakan yang disifatkan berlatar belakang ‘politik’.

Katanya, tindakan sedemikian menggambarkan individu terlibat tidak sensitif dan terlalu ghairah mengejar kepentingan politik.

Tiada ulasan: