Jumaat, 7 September 2012

Empat rumah kedai hangus

HIDAYAH HAIROM

Empat rumah kedai hangus
Api merebak dengan cepat disebabkan ketiadaan dinding penebat kebakaran antara unit kedai berkenaan.
 
KUALA LUMPUR - Empat unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Genting Klang, Setapak di sini terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu, sebuah unit kedai gantian alat kereta, sebelum merebak ke unit kiri dan kanannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.59 petang dan jentera pertama tiba tujuh minit kemudian.

Menurutnya, ketiadaan dinding penebat kebakaran antara unit-unit rumah kedai berkenaan menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Api merebak dalam ruang siling dan kita juga menghadapi masalah tekanan air rendah menyebabkan kerja mengawal kebakaran mengambil masa.

“Api bagaimanapun berjaya dikawal satu jam setengah kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebanyak 12 jentera dari 10 balai bomba dengan kekuatan kira-kira 80 anggota bomba terlibat dengan kerja pemadaman api.

Ketika operasi memadam api, pihak bomba juga terpaksa memecahkan cermin tingkap termasuk memotong jeriji tingkap rumah kedai yang dibina pada awal 70-an itu, bagi memudahkan kerja memadam api.

Kebakaran tersebut juga menyebabkan bahagian siling dan bumbung 10 unit rumah kedai di deretan sama dipenuhi asap tebal.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik butik yang terbakar, Sely, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya dan pembantunya berada di dalam butik di tingkat atas sebelum menyedari asap memasuki ruang butik.

Katanya, mereka bergegas turun ke bahagian bawah dan menjerit memberitahu ada kebakaran.

“Apabila bomba datang, saya naik ke butik mengambil barang yang sempat diambil.

“Saya baru sebulan memulakan perniagaan di sini, belum sempat dirasmikan.

Papan tanda kedai juga belum dinaikkan,” katanya mengakui mengalami kerugian lebih RM10,000.

Tiada ulasan: