Rabu, 26 September 2012

Dewan Rakyat sebulat suara kutuk ‘Innocence of Muslims’

 
Malaysia berpendirian bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara berhemah dan penuh tanggungjawab.



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini sebulat suara mengutuk penyiaran filem anti-Islam ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang ketika membahaskan usul tergempar tersebut mengecam sekeras-kerasnya penghasilan filem yang disifatkan mempunyai agenda sengaja mahu membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul tergempar tersebut mengecam pembikinan filem itu yang menggunakan tiket prinsip kebebasan media untuk menghina sesuatu agama.

“Rakan-rakan Islam di Amerika Syarikat sedang menyusun langkah untuk menyaman penerbit ini dan saya harap ianya berhasil kerana ada undang-undang berkaitan anti-semitism dan anti-rasisme yang cuba disanggah kerajaan Barat,” katanya dalam Dewan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan berlakunya penghinaan terhadap mana-mana agama.
“Video anti-Islam yang dihasilkan atas dasar kebebasan mutlak bersuara di negara-negara Barat  termasuklah di Amerika Syarikat telah mencetuskan penentangan dan kemarahan masyarakat islam diseluruh dunia.

“Maka Malaysia berpendirian bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara berhemah dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Katanya, Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan hak kebebasan bersuara namun menegaskan hak berkenaan bukan sesuatu yang mutlak.

“Ia bukanlah satu hak yang mutlak dan kebebasan menghina atau menfitnah tidak harus dibenarkan sehingga boleh menjejaskan kehidupan serta keharmonian masyarakat antarabangsa.

“Kita juga berpendirian bahawa pandangan serta tindakan melampau dan keganasan yang dilakukan oleh beberapa pihak  tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Dewan Rakyat membahaskan usul mengutuk penyiaran filem pendek berkenaan selama satu jam selepas menerima usul tergempar Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Filem arahan warga Amerika, Sam Bacille yang disiarkan dalam laman YouTube itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang homoseksual, menyokong seks luar nikah dan pedofilia.

Turut baca:

Parlimen setuju bahas ‘Innocence of Muslims’

Tiada ulasan: