Rabu, 26 September 2012

DAPSY kutuk budaya politik samseng di kampus

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Tindakan serangan fizikal dan ugutan terhadap calon-calon pilihanraya kampus menunjukkan bahawa budaya politik samseng di luar tembok universiti telah menyusup masuk dan mempengaruhi proksi-proksinya di kalangan mahasiswa.

Demikian kata Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, Zairil Khir Johari dalam kenyataan medianya hari ini dalam reaksi terhadap kejadian serangan melibatkan Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto (gambar) yang didakwa dibelasah lima pemuda tidak dikenali di luar rumahnya awal pagi tadi.

Menurut mahasiswa Universiti Malaya itu, motosikalnya dihalang sebuah kereta sebelum beliau kemudiannya diheret ke bahu jalan sebelum diserang dan dibelasah dengan topi keledar di kawasan rumahnya di Seksyen 17 Petaling Jaya.

Zairil yang juga Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa tindakan mengancam dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan budaya samseng ini adalah penghinaan terhadap nilai-nilai intelektual dan idealisme yang menjadi asas pembinaan jati diri di universiti.

“Ia jelas menunjukkan bahawa politik dangkal yang diamalkan pihak-pihak yang tidak mampu berhujah turut diserap oleh pengikut-pengikutnya di peringkat universiti,” ujar beliau.

“Apakah terlalu susah untuk berlawan dengan akal dan hujah sehingga harus memilih jalan kekerasan untuk memaksa kepatuhan dan memastikan kemenangan?” soal beliau lagi sambil mengutuk keras kejadian yang berlaku dan mendesak agar siasatan dilakukan supaya pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

“Budaya politik jahat dan pelampau sebegini mesti dihentikan, baik di kampus mahupun di peringkat politik kebangsaan,” tegas beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: